PROF. Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail dalam rancangan Tarbiyah yang bersiaran di radio IKIMfm Jumaat lepas jam 10.15 pagi berbicara tentang “Aku dan Istiqamah”. Istiqamah bermaksud teguh pendirian, tetap, disiplin, lahir juga istilah konsisten, juga pembaikan berterusan. Tidak boleh istiqamah jika seseorang itu pemalas, tidak akan berjaya seorang yang tidak istiqamah.
Dalam satu hadith Baginda SAW di mana seorang sahabat RA bertanya kepada Nabi SAW, wahai Rasulullah SAW, apakah pesanan yang jika kau beritahu aku, aku tidak perlu mendapatkan pesanan lain lagi, maka Nabi SAW bersabda “katakanlah aku beriman dan kemudian hendaklah kamu istiqamah”. Dalam al-Qur’an, Allah SWT juga menyebut tentang istiqamah ini, antaranya dalam Surah Hud ayat 112 mafhumnya: “ maka istiqamahlah kamu, sebagaimana yang diperintahkan kepada kamu (wahai Muhammad) dan juga mereka yang bertaubat dan bersama-sama kamu dan jangan engkau melampaui batas sesungguhnya Allah SWT Maha Melihat apa yang kamu lakukan”. Imam Qurtubhi menyebut dalam tafsirnya bahawa inilah ayat yang sukar dan berat bagi Rasulullah SWT untuk melaksanakannya sehingga Baginda menyebut bahawa ayat inilah yang menjadikannya beruban. Dalam Surah al-Syuura ayat 15 juga ada disebut “maka dengan itu serulah kepada agama dan beristiqamahlah dan jangan mengikut kamu menuruti hawa nafsu mereka (yang tidak mengikut Islam). Dalam Surah al-Ahqaf ayat 13 dan 14, ayat ini memberikan gambaran keyakinan kepada kita sifat orang yang istiqamah “dan sesungguhnya mereka yang berkata bahawa tuhan kami ialah Allah dan kemudiaan mereka beristiqamah maka mereka tiada rasa takut dan tiada rasa dukacita, mereka inilah ahli Syurga sebagai balasan terhadap apa yang mereka lakukan”.
Ayat-ayat al-Qur’an ini cukup cantik untuk dijadikan kita bersemangat agar istiqamah menjadi budaya dalam hidupnya. Dalam pekerjaannya, ada orang yang istiqamah akan menjadi amat berdisiplin walaupun waktu masuknya 8.30 pagi misalnya, mereka akan datang awal, ada yang sebelum pukul 8 lagi. Apabila ditanya, dia menjawab “sudah terbiasa”. Inilah maksudnya dia sudah istiqamah dalam amalan baiknya.
Dengan istiqamah, ia bukan sekadar melahirkan pekerja yang baik, berdisiplin, tetapi dia mampu melahirkan budaya persekitaran yang baik dan imej yang baik. Imej umat Islam buruk kerana umat Islam tidak beramal dengan ajaran Islam yang sebenar, sekiranya kita beramal dengan ajaran Islam dan istiqamah nescaya ia akan membentuk imej yang baik untuk diri kita dan juga imej Islam itu sendiri. Tiga puluh hari dalam Ramadan ini sebenarnya latih tubi yang Allah SWT kenakan kepada kita agar kita menjadi istiqamah. Kita kena kerap bermuhasabah dengan diri kita sendiri, bercakap dengan diri kita sendiri atau “self-talk”, sejauh mana kita istiqamah. Bandingkan diri kita di awal Ramadan dulu berbanding dengan diri kita hari ini, bacaan al-Qur’an dan Terawih kita, solat tahajud dan amalan-amalan lain adakah kita istiqamah sepertimana di awal Ramadan.
Apabila Allah SWT memerintahkan kita beristiqamah dia ada hikmah yang terbesar. Sebagai contoh apabila kita diperintahkan solat, ia sebenarnya membentuk peribadi diri agar istiqamah. Dalam solat itu ada waktunya tertentu, ada cara solatnya tertentu, ada rakaat yang tertentu. Jika tidak boleh berdiri kita dibenarkan duduk, jika tiada air untuk wuduk, maka boleh bertayammum. Inilah cara Allah SWT mendidik kita dalam memerintahkan kita buat amalan-amalan wajib agar dengan itu kita akan istiqamah. Kemudiaan ditambah lagi dengan amalan-amalan sunat, kemudian diperintahkan kita solat berjemaah pula. Begitu juga dengan Ramadan ini, kita dianjurkan untuk berpuasa dengan cara-caranya, kaedahnya.
Allah SWT apabila memerintahkan kita berpuasa, ia adalah untuk mendisiplinkan diri kita menjadi invidividu yang cemerlang. Istiqamah ini adalah untuk mendisiplinkan kita agar dengan itu kita akan merasa mudah untuk melakukan amalan samada sendirian atau di depan ramai. Istiqamah perlu datang dari hati sendiri dan apabila kita perasaan istiqamah itu sudah meresap masuk dalam diri kita, maka kita tidak lagi merasa berat untuk melaksanakan apa jua perintah Allah SWT.
Kita kena insaf bahawa dalam sistem Allah SWT itu apa yang diperintahkan kepada kita ianya semua untuk kebaikan kepada diri kita sendiri. Ubat biasanya pahit namun di sebalik kepahitan itu ia baik untuk membantu memulihkan penyakit dengan izin Allah SWT.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Jun 2017