ALLAH mengurniakan Ramadan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana usia mereka tidak sepanjang umat yang terdahulu, malah usia nabi-nabi terdahulu mencecah sehingga ratusan tahun. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa umur umat Baginda di antara 60 tahun sehingga 70 tahun dan sudah tentunya tempoh mereka melakukan amalan sepanjang kehidupan hanya sedikit. Oleh itu Allah jadikan bulan Ramadan dan terdapat satu malam di dalamnya yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam al-Qadr. Satu malam al-Qadr sahaja menyamai 80 tahun manusia beribadah kepada Allah dan peluang yang diberi kepada setiap manusia sebanyak 10 kali sahaja sepanjang hidupnya untuk mengecapi malam al-Qadr iaitu seumpama 800 tahun mereka beribadah kepada Allah.
Persiapan untuk menghadapi bulan Ramadan dilakukan pada dua bulan sebelumnya iaitu pada bulan Rejab & Syaaban yang juga merupakan tempoh latihan bagi umat Nabi Muhammad SAW untuk melakukan amal ibadah. Ramadan juga dikurniakan Allah kepada umat Baginda supaya mereka dapat memperbaiki kehidupan agar sentiasa berada di jalan yang lurus, kerana perjalanan hidup manusia seringkali hanyut daripada mengingati Allah. Maka dengan berpuasa, manusia akan menginsafi segala dosa serta menyedari bahawa mereka adalah hamba kepada Allah SWT.
Perkongsian bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm menjelaskan bahawa ramai di kalangan umat manusia akan merasa sesal setelah kembali menghadap Allah di Padang Mahsyar kelak dan merayu kepada Allah agar dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal salih yang ditinggalkan dahulu. Sesalan juga dirasai oleh manusia bermula apabila mereka di kunjungi malaikat Izrail untuk dicabut nyawanya, ketika berada di alam kubur dan sewaktu disoal oleh malaikat Mungkar dan Nangkir. Namun rasa sesal itu tidak lagi berguna malah ditempelak oleh Allah di atas kelalaian mereka ketika menjalani kehidupan di dunia dahulu.
Rahmat Allah SWT ketika tibanya bulan Ramadan juga dikurniakan kepada mereka yang berada di alam barzakh. Manusia seringkali terpesong di dalam tiga keadaan, di antaranya tersesat di dalam pegangan dan tidak yakin kepada agama Allah. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Kahfi, ayat 103-104: “Katakanlah (wahai Muhammad): \”Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”. Manusia tidak akan merasai keindahan di alam barzakh kerana tidak berpegang teguh kepada Islam dan jauh daripada jalan agama.
Tempoh berpuasa bermula pada waktu subuh sehingga maghrib, menuntut manusia untuk meninggalkan makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa dan juga membatalkan pahala puasa. Puasa juga mampu membentuk integriti manusia kerana sistem yang diatur oleh Allah sepanjang menjalani ibadah itu, sehingga menimbulkan kesedaran kepada manusia agar tidak mengkhianati tanggungjawab yang diamanahkan di dalam hidup mereka.
Allah juga ingin mendidik ibadah yang dilakukan manusia pada bulan Ramadan tanpa mengenal darjat dan kedudukan manusia kerana semuanya hamba kepada-Nya dan harus mengikuti jadual yang telah disusun oleh Allah. Situasi ini mewujudkan kesedaran kepada umat manusia kerana sehebat manapun mereka, perlu mengikut perintah Allah SWT. Sahur dilakukan untuk menjaga waktu subuh, manakala waktu berbuka setelah masuknya waktu maghrib. Kegembiraan bagi orang-orang berpuasa akan dirasai apabila tibanya saat berbuka kerana pada ketika itu Allah akan menurunkan rahmat yang banyak kepada umatnya dan keberkatan di dalam sesebuah keluarga.
Pada bulan Ramadan juga Allah mendidik akhlak manusia kerana lumrahnya akhlak manusia sentiasa tercalar kerana kekasaran tutur kata yang menyinggung perasaan orang lain. Mulut manusia akan mudah dijaga begitu juga perkataan yang digunakan di dalam penulisan ketika berpuasa kerana kesilapan yang dilakukan akan menjejaskan pahala puasa. Selain itu Ramadan juga mendorong manusia untuk mencapai matlamat untuk menjadi insan yang bertakwa kepada Allah. Malah Ramadan juga merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan, kerana pada ketika inilah terbukanya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka. Segala syaitan yang ada akan digari oleh Allah SWT.
Pada waktu ini juga merupakan peluang untuk membantu mereka yang telah meninggal dunia dan akan meninggal dunia kelak. Sebagai seorang anak, berdoalah kepada kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia agar dapat melepaskan mereka daripada azab kubur. Apabila tibanya bulan Ramadan, akan diringankan azab penghuni alam barzakh bagi mereka yang didoakan oleh anak-anak mereka yang salih. Selain itu dengan berinfaq ke atas nama kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia, akan mengalirkan pahala berterusan kepada mereka. Hubungkan silaturrahim di kalangan keluarga dan sahabat kedua ibu bapa ketika mereka hidup dahulu untuk beroleh keberkatan daripada Allah. Malah pada masa yang sama ziarahlah kubur arwah ibu bapa pada bulan Ramadan untuk mendoakan mereka, juga untuk menimbulkan keinsafan di dalam diri.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 Jun 2017