BULAN Ramadan hendaklah digunakan sebaik mungkin untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Ini kerana bulan yang penuh kemuliaan menawarkan ganjaran pahala yang besar kepada umat Islam yang taat kepada perintah Allah. Setiap mukmin yang sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan Allah akan dipermudahkan urusan kehidupan di dunia dan seterusnya di akhirat. Orang yang mendekatkan diri dengan Allah akan selalu diberi kebaikan olehNya. Mendapat cahaya pada waktu gelap, mendapat ketenangan pada saat gundah dan mendapat kemudahan pada saat ada kepayahan.
Melalui rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm pada hari Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata puasa yang kita laksanakan secara taat akan mendekatkan diri dengan Allah SWT. Apabila Allah SWT memerintahkan umatnya untuk melaksanakan sesuatu amalan, sesungguhnya Allah bukan sekadar menyuruh umatnya melaksanakan amalan-amalan tersebut, tetapi Allah SWT mahukan umatnya memperelokkan setiap amalan yang dilaksanakan.
Dalam amalan-amalan yang lain juga, Allah SWT mendidik dan memerintah umatnya untuk melaksanakan amalan dengan sempurna dan terbaik. Justeru setiap amalan yang disempurnakan hendaklah dilaksanakan dengan tepat. Setiap amalan perlu ada kefahaman dan falsafah yang akan menjadikan seseorang mukmin insan yang benar-benar mendapat keredhaan Allah SWT.
Dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan, apabila ia dilaksanakan kerana Allah SWT amat penting bagi kita kerana setiap amalan dimulakan dengan niat yang tepat inilah yang akan memandu kita untuk bertindak atau berbuat perkara seperti yang dimahukan.
Niat mempunyai hubungan yang amat rapat dengan iman. Iman dan niat berada pada hati yang akan menjurus kepada amalan kita. Dalam melaksanakan ibadah puasa, niat dan iman amat berkait rapat antara satu sama lain. Seperti yang terkandung di dalam surah al-Baqarah melalui ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertaqwa”. Dalam ayat ini terdapat tiga perkara penting iaitu iman, puasa dan taqwa yang mempunyai hubungkait antara satu sama lain dalam kita terjemahkan setiap amal ibadah kita.
Justeru iman yang diumpamakan seperti benih, puasa seperti pohon dan taqwa seperti buah merupakan gabungan untuk mendapat kesempurnaan ibadah kepada Allah SWT. Oleh itu, dalam amalan berpuasa, ketiga-tiga amalan ini tidak dapat dipisahkan kerana ia saling berkait untuk mendapat nilai ketaqwaan di sisi Allah SWT.
Apabila melaksanakan ibadah berpuasa, ia mestilah disemat atau diniatkan kerana Allah SWT. Amalan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan nilai keikhlasan kerana Allah dan bukan dengan tujuan yang lain. Dalam sebuah riwayat, ada seorang sahabat yang bertemu dengan Rasulullah SAW lalu bertanyakan “Wahai Rasulullah, aku melakukan amal ibadah sepenuhnya kerana Allah SWT, tetapi pada saat itu terselit juga dalam hatiku perasaan untuk mendapat penghargaan daripada manusia. Bagaimanakah dengan nilai amalanku ini?” Rasulullah SAW hanya berdiam sehingga Allah SWT memberi jawapannya melalui surah al-Kahfi. Allah SWT berfirman sesiapa yang mahu kedekatan dirinya dengan Allah SWT, hendaklah dijauhi dengan perbuatan syirik. Ini bererti apa juga amalan ibadah hendaklah berpusat dan dilaksanakan kerana Allah SWT. Ini kerana keredhaan Allah mengatasi segala-galanya.
Jika melaksanakan sesuatu ibadah dengan harapan untuk sihat, untuk mencari rezeki, untuk mendapat kebaikan yang tidak bertentangan dengan perkara yang diharamkan Allah, ianya tidak menjadi kesalahan jika setiap ibadah itu juga ada faktor atau niat-niat yang lain. Sebagai contoh niat ke masjid untuk mendirikan solat secara berjemaah kerana Allah, tetapi dalam masa yang sama ada niat lain iaitu untuk membersihkan masjid, membaca al-Quran atau perkara-perkara lain, ianya tidak menjadi kesalahan kerana perbuatan lain itu tidak menutupi niat asal yang dilaksanakan kerana Allah SWT.
Namun jika sesuatu amalan yang dilaksanakan kerana adat atau budaya, tentunya tidak akan memberi apa-apa perubahan dalam diri. Sebagai contoh, berpuasa di bulan Ramadan tetapi dalam masa yang sama tidak melaksanakan ibadah solat kerana amalan itu hanya dilakukan sebagai satu amalan ikut-ikutan sahaja.
Sesungguhnya amalan puasa jika dilaksanakan kerana ketaatan dan takut akan azab Allah pasti akan memberi nilai tingkatan yang tinggi di sisi Allah. Ibadah puasa yang dilaksanakan dengan niat ikhlas terhadap perintah Allah bukan kerana adat atau budaya pastinya akan memberi kesan terhadap ibadah kita walaupun setelah berada pada bulan-bulan yang lain.
Bulan Ramadan adalah bulan latihan yang perlu dihayati dan diamalkan kerana impak dari pendidikan di bulan Ramadan akan menjadikan kita insan yang ikhlas dalam melaksanakan ibadah secara istiqamah. Kefahaman tentang falsafah puasa akan memberi kesan terbaik kepada mukmin dalam mempersiapkan diri untuk kembali kepada Allah dengan amal ibadah yang tinggi ketaqwaannya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 31 Mei 2017