Islam Bentuk Jati Diri

DALAM rancangan Islam Itu Indah terbitan radio IKIMfm yang bersiaran setiap Rabu jam 10.15 pagi, saya mengungkapkan pengamatan cendikiawan ulung Professor Dr. Syed Muhamad Naquib al-Attas betapa sesuatu bangsa itu akan mengalami keadaan-keadaan di mana pandangan alam (worldvidew) mereka berubah disebabkan sesuatu peristiwa besar yang melanda bangsa tersebut. Jika di Barat, perubahan besar yang mengubah persepsi, pandangan alam masyarakat Barat  hingga ke hari ini ialah pada ketika Zaman Renaissance atau Zaman Kebangkitan Semula yang berlaku sekitar 1400-an hingga 1700-an. Zaman itu mengubah masyarakat Barat daripada bersikap dogmatis dan feudalis kepada humanis dan seterusnya rasionalis sehingga membawa kepada penemuan-penemuan dalam bidang sains dan ilmu-ilmu lain.

Begitu juga dengan masyarakat Jahiliah Arab. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW, bangsa tersebut merupakan bangsa yang kehidupan mereka yang tiada nilai-nilai kemanusiaan walaupun pada ketika itu sastera Arab berada pada tahap tertinggi dengan puisi-puisi Jahiliah yang mempersonakan, tetapi zaman itulah anak-anak perempuan dibunuh, pelacuran berleluasa, permusuhan dan peperangan antara kabilah dan kabilah yang lain begitu kuat, dendam kesumat menjadi sebati dengan darah daging masyarakat pada masa itu. Apabila Islam datang, semua itu berubah dan mereka menjadi bangsa yang dimuliakan sehingga empayar Islam tersebar lebih tiga perempat dunia berkali-kali mengatasi empayar Kristian sebelum ini. Lantaran itulah Saidina Umar ibn Al-Khattab mengungkapkan “kami adalah bangsa yang dimuliakan Allah dengan Islam, dan sekiranya kami mencari kemuliaan melalui selain daripada Islam, nescaya Allah akan menghina kami”.

Kedatangan Islam juga turut memberikan perubahan yang hebat dan total terhadap masyarakat Melayu dahulukala. Pelbagai teori dikemukakan oleh sejarahwan bila setepatnya Islam datang ke Nusantara Melayu ini. Ada yang mengatakan Islam sampai pada kurun ke 7,8,9, dan ada juga yang mengatakan kurun ke 12,13, dan 15 Masehi. Walau bila sekalipun, yang pasti sejarah mencatatkan bagaimana Islam telah berjaya mengubah dan merevolusi diri dan jiwa orang Melayu sehingga orang Melayu seolah menemukan identiti diri mereka yang serasi dan sesuai dengan jiwa mereka. Walaupun umum mengetahui bahwa Kepulauan Melayu sebelum kedatangan Islam, rata-rata umat Melayu dikatakan menganuti samada ajaran Hindu atau  Buddha dan agama (“budaya/kepercayaan) anak negeri sendiri. Namun, sepertimana yang dijelaskan oleh seorang tokoh sejarawan Barat Van Leur, ajaran-ajaran itu sebenarnya tidak benar-benar dihayati oleh masyarakat tetapi sekadar oleh golongan raja-raja dan bangsawan. Para sami dari tanah besar India didatangkan ke Nusantara ini untuk mempengaruhi masyarakat agar mendewa-dewakan raja-raja kononnya keturunan dewa atau wakil Tuhan. Ajaran ini sekadar nipis dan tidak benar-benar bertapak dalam jiwa masyarakat umum pada masa itu. Begitu juga dengan ajaran Buddha walaupun kesan Candi Borobudur  wujud di Pulau Jawa, namun dari segi pemikiran dan falsafahah tiada ditemukan karya-karya Buddha mahupun Hindu yang dikarang oleh bangsa Melayu. Tiada ahli fikir Melayu-Hindu atau Melayu-Buddha yang pernah dicatatkan wujud dalam sejarah Nusantara ini. Tetapi berbeza dengan Islam apabila ramai ulama Melayu-Islam yang lahir dengan karya-karya yang berkualiti tinggi sepeti Sheikh Hamzah Fansuri (w.1590), Sheikh Nuruddin al-Raniri (w.1658), Sheikh Shamsuddin al-Sumara’i(w.1630) dan ramai lagi. Ini jelas, mengikut Professor Syed Naquib Al-Attas betapa ajaran Islam telah berjaya membentuk jatidiri bangsa Melayu dari dulu hingga kini dan tanpa Islam, bangsa Melayu seolah-olahnya tidak memiliki identiti yang jelas dan kukuh. Kalimat bahasa Arab juga ditemui begitu banyak dalam bahasa Melayu sehingga dianggarkan sekitar 3,000 kalimat Arab diterimapakai dalam bahasa Melayu, iaitu sekitar 15% daripada perbendaharaan kata bahas Melayu.

Kekuatan Islam terhadap bangsa Melayu ini diperkukuhkan lagi apabila Perlembagaan Persekutuan turut memasukkan takrif bagi “orang Melayu” sepertimana yang dirakamkan dalam Perkara 160 (2) yang menyebut  orang Melayu “sebagai seorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat Istiadat Melayu…”

Kedudukan Islam-Melayu itu adalah hubungan yang simbiosis yang tidak dapat dipisahkan sepertimana ikan dan air atau irama dan lagu. Adat budaya dan sopan santun yang bangsa Melayu miliki hari ini adalah kerana pengaruh daripada ajaran Islam yang dianuti mereka khususnya daripada aspek tasawuf atau ihsan yang ditekankan oleh agama Islam melalui pendekatan yang dibawa oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Ulama kelahiran Syria yang kini menetap di Amerika Syarikat, Sheikh Dr. Muhammad Yahya al-Ninowy pernah mengungkapkan bahawa Nusantara Melayu merupakan terjemahan tasawuf yang diajarkan oleh Imam al-Ghazali yang cukup beradab yang tidak ditemui di kebanyakan negara-negara Arab.

Walaupun akhir-akhir ini kita mendengar suara-suara sumbang yang keluar daripada mulut umat Islam Melayu Malaysia yang tidak sesuai dengan ungkapan orang Islam, itu sebenarnya adalah perlambangan krisis jati diri segelintir bangsa Melayu. Krisis jati diri sebegini merupakan fenomena biasa apabila sesebuah bangsa itu dijajah dan nilai-nilai penjajah seperti sekularisme, materialisme di bawah masuk yang memisahkan antara duniawi dan ukhrawi, dan mementingkan kebendaan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 April 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top