RASULULLAH SAW bersabda mafhumnya, pada Hari Akhirat kelak, para penghuni syurga akan bersama dengan pemimpin mereka menuju syurga. Melalui hadis yang diriwayatkan Imam al-Qudri, Rasulullah menyebut mafhumnya, “Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar akan memimpin orang-orang yang soleh di dunia ini yang meninggal dunia ketika berumur 30 tahun hingga 50 tahun di syurga Allah di kalangan golongan terdahulu dan terakhir. Orang yang meninggal dunia di kalangan pemuda yang berumur 15 tahun sehingga 30 tahun akan dipimpin oleh Hassan dan Hussin.” Menurut ulama bagi mereka yang berumur melebihi 50 tahun akan dipimpin oleh sahabat-sahabat Baginda yang terpilih berdasarkan amalan masing-masing dan di antara sahabat tersebut ialah Zaid bin Thabit RA yang ditugaskan oleh Rasulullah SAW untuk menyusun al-Quran, Saidina Osman dan lain-lain.
Menerusi perkongsian di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada hari Khamis jam 5.15 petang, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menyebut ada di kalangan wanita yang menjadi pemimpin kepada ahli syurga ialah Saidatina Khadijah, Fatimah, Maryam dan juga Asiah. Dalam musnad Ahmad karya al-Tahawi disebut bahawa Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah membuat empat garis di atas tanah. Baginda menjelaskan wanita penghuni syurga yang paling mulia ialah Khadijah binti Khuwailid. Oleh itu kita seharusnya berusaha untuk mencontohi Khadijah yang sanggup mengorbankan segala-galanya di dalam hidupnya demi mentaati perintah Allah, agar dapat dipimpin beliau pada Hari Akhirat kelak. Kemudian Baginda bersabda lagi, Fatimah binti Muhammad, yang juga akan memimpin ahli syurga. Begitu juga Maryam binti Imran dan Asiah binti Muzahim yang merupakan isteri kepada Firaun, yang akan bergerak memimpin ahli syurga.
Tidak ada lagi debaran bagi penghuni syurga, malah mereka penuh dengan ketenangan ketika tiba waktu untuk masuk ke dalam syurga. Angin yang harum akan bertiup perlahan ketika menyambut penghuni syurga dan apabila ia bertiup ke wajah mereka akan menyebabkan mereka bertambah cantik dan berseri. Gambaran indah ini berkekalan di dalam syurga untuk selama-lamanya. Angin yang bertiup itu juga turut meyampaikan perkhabaran akan kekal selamanya-lama kehormatan abadi yang penuh dengan kemuliaan serta kemewahan yang tiada tandingan oleh mana-mana bentuk kemewahan sekalipun di atas dunia dahulu. Pada saat itu, para malaikat akan memberi salam dan menyambut kedatangan penghuni syurga dengan kata-kata, “Berbahagialah kalian, indahnya tempat kalian. Maka masuklah ke dalam syurga ini dengan penuh kesejahteraan dan keamanan, sedangkan kalian tidak akan lagi ditimpa keletihan di dalamnya, kalian tidak akan keluar lagi buat selamanya. Masuklah kedalam syurga yang telah disiapkan oleh Allah untuk kalian ini dan kenikmatan yang tidak pernah terlihat oleh pandangan mata. Masuklah ke dalam bilik-bilik kecil yang menempatkan istana dan kebun kalian serta bersiaplah untuk menemui bidadari-bidadari yang mengetuk-ngetuk pintu untuk menjemput kalian masuk ke dalamnya.
Sebagaimana yang disebut di dalam surah ar-Ra’d, ayat 22-24: “Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; – Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; -(Memberi hormat dengan berkata): \”Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.”
Firman Allah di dalam surah az-Zumar, ayat 73: “Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:\” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya\” (mereka pun masuk) ..” Pada ketika itu ahli syurga akan berasa sangat tenang, setelah terbuka pintu syurga, bau harum ditiup angin lembut dan ditambah aliran air yang menyentuh wajah dan seluruh badannya. Haruman syurga berhembus berganti-ganti dengan bauan haruman indah yang lain beserta za’faran yang lembut. Di dalam keadaan bauan minyak ambar yang kelabu, tiupan bau harum buah-buahan dan pepohonan serta angin lembut yang naik terus menyejukkan kepala mereka.
Apabila masuk ke dalam syurga akan terlihat keindahan senibina bangunan di dalamnya seperti digambarkan di dalam surah Qaaf, ayat 22: “(Serta dikatakan kepadanya): \”Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)”. Pandangan mereka menjadi tajam dan dapat melihat dengan jelas bangunan di dalam syurga dibangunkan daripada batu-batu zamrud berwarna hijau, yakut berwarna merah, mutiara putih yang berkemilauan cahayanya bersinar terang dan sangat indah. Malah pada ketika penghuninya memasuki syurga, pada waktu itulah Allah akan menunjukkan wajah-Nya. Hati mereka berasa sangat gembira kerana pada saat itulah waktu paling berbaloi di dalam hidup mereka kerana berpuas hati menahan tohmahan dan kejian daripada manusia di dunia dahulu dan kerana ketaatan kepada perintah Allah itu melayakkan mereka menjadi penghuni syurga.
Ahli-ahli syurga akan disambut dengan senyuman termasuk di kalangan wali-wali Allah dan saling mengucapkan, “Salamun alaikum, dengan kesabaran yang telah kamu lalui, inilah sebaik-baik tempat kesudahan yang Allah jadikan kepada kita.” Ketika mendengar ucapan daripada para malaikat, cahaya terpancar di wajah mereka yang menerangi jalan-jalan untuk masuk ke dalam syurga, serta mereka penuh dengan ketakjuban dan kegembiraan. Pintu-pintu menjadi sesak dengan ramainya ahli syurga yang ingin memasukinya dan pintu yang luasnya sejauh perjalanan selama 40 tahun menjadi penuh kerana padatnya wali-wali Allah. Walaupun keadaannya sesak namun diberikan kenikmatan setelah menuju keindahan istana yang diperbuat daripada yakut, mutiara dan emas yang telah mereka saksikan.
Lalu mereka akan melewati pintu dengan kurniaan Allah, pintu syurga akan diketuk-ketuk oleh para bidarari yang indah mereka dan dapat melihat kedua telapak kaki mereka di atas tanah dan merasakan pernah menjejakkan kaki ke situ dan itulah tanah masjid yang dilalui mereka suatu ketika dahulu. Saat melangkah ke halaman syurga di hamparan za’faran, dan aliran kasturi, tiba-tiba muncul pula anak-anak mereka yang dahulunya meninggal dunia di usia kecil serta anak-anak yang juga di kalangan ahli syurga, menyambut kedatangan mereka. Waktu juga akan terlihat para pemuda yang kekar dan mekar untuk melayani penghuni syurga, begitu juga para isteri dan bidadari. Ahli syurga akan bertahlil dengan rasa kegembiraan dengan sambutan oleh kerajaan yang paling agung.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 April 2017