Bersyukur

ALLAH SWT menciptakan anggota badan untuk kemudahan dan kesenangan kita berurusan di dunia ini. Sebagaimana Allah SWT  menundukkan matahari, bulan dan bintang untuk kemudahan manusia, begitu jugalah anggota tubuh sendiri.Anggota badan  adalah nikmat yang luar biasa yang dianugerahkan oleh Allah  kepada manusia. Bermula dari hujung kaki sehinggalah  hujung rambut, semuanya adalah nikmat. Misalnya, bayangkan jika kita tidak memiliki telinga, maka  kita tidak dapat mendengar   sepatah pun perkataan apabila berbual dengan  orang lain.
Dalam  rancangan Nasaih Diniyyah yang disiarkan di IKIMfm pada Isnin jam 9 malam, Ustaz Basir Mohamed al-Azhari  menyarankan agar umat Islam mensyukuri pemberian  anggota  badan zahir iaitu bahagian tangan dan kaki  yang dikurniakan oleh Alah SWT.  Sesungguhnya, nikmat kedua belah tangan seharusnya digunakan untuk  bersedekah,, menulis  ilmu pengetahuan dan menggunakannya untuk mengusahakan sesuatu demi mencari rezeki yang halal. Ia  harus dijaga dengan sebaik-baiknya dari memalukan dan menjatuhkan maruah sesama Islam. Ia juga janganlah digunakan untuk mencapai tujuan yang jahat atau menyuruh berbuat yang haram. .Misalnya menggunakan tangan dengan tujuan merampas ,  menzalimi serta  melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kecederaan ke atas orang lain.
Sebagaimana yang telah diketahui, media massa merupakan penyebar saluran maklumat yang utama di Malaysia. Kepentingannya sebagai saluran maklumat yang unggul terbukti dengan wujudnya “Teknologi Maklumat”. Internet digunakan dengan meluas dinihari ini kerana kebolehannya memberikan maklumat yang cepat dan padat walaupun maklumat itu belum pasti kesahihannya.    Facebook merupakan salah satu hasil ciptaan dalam perkembangan dunia teknologi hari ini yang digunakan dalam teknologi internet. Melalui Facebook masyarakat dapat berinteraksi dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia. Pengguna Facebook boleh mempamerkan apa sahaja yang mereka ingin orang lain tahu berkenaan diri mereka di laman Facebook seperti tarikh kelahiran, hobi, matlamat masa hadapan dan banyak lagi.
Namun, facebook juga boleh membawa keburukan kepada penggunanya sekiranya pengguna Facebook itu sendiri tidak pandai menggunakan dan memanfaatkan laman sosial Facebook kearah yang lebih baik. Umpamanya, ada di anatara individu tanpa memikirkan kesan dari sudut dosa pahala, gambar-gambar mendedahkan aurat dimuat naik sesuka hati, status memaki, mencaci dan menghina menghiasi dinding-dinding facebook mereka. Terdapat juga pihak-pihak yang menggunakan laman sosial ini dengan mencipta laman  yang mempromosikan kemaksiatan. Oleh itu, hargailah nikmat tangan yang diberikan oleh Allah dengan menjadikan  laman Facebook sebagai wadah untuk menyebarkan pengetahuan dan amal kebaikan serta hindari daripada menyebarkan maksiat dan menanamkam kebencian sesama manusia.  Selain itu, gejala utama yang selalu dikaitkan dengan teknologi ICT ialah penyebaran fitnah dan gossip oleh satu pihak bagi tujuan memburukkan, memalukan atau menjatuhkan pihak lain. Fitnah disebar menggunakan laman Facebook, Whatsapp, Twitter  dan  pelbagai saluran  yang lain.  Hal ini mencabar etika dan tatasusila hidup bermasyarakat dan bernegara. Menurut ajaran Islam, penyebaran fitnah adalah satu jenayah yang sangat besar. Fitnah memberi kesan terhadap maruah dan kedudukan seseorang individu serta keluarganya.
Menut Ustaz Basir lagi tangan bukan sahaja berfungsi sewaktu di dunia, malah ia  juga memiliki peranan tersendiri pada Hari Akhirat kelak. Setiap manusia akan menerima catatan amalan pada hari berkenaan. Catatan amalan ialah segala amalan yang dikeluarkan semula oleh Allah pada Hari Kiamat untuk dibaca, bermula daripada amalan kebaikan yang dilakukan bermula akil baligh sehingga meninggal dunia. Kemudian Allah jelaskan kembali segala keburukan, didedahkan segala kemaksiatan lalu dibaca dan manusia menghitung dirinya sendiri sebelum dinilai Allah SWT. Sebelum timbangan amalan dilakukan, datangnya catatan atau suratan amalan, manusia masing-masing berkata, “Buku apakah ini? Semuanya dicatat Allah segala amalan-amalan.” Ketika melayangnya suratan amalan, jika diterima manusia melalui tangan kanannya, maka dia akan tergolong di kalangan ahli syurga. Namun sekiranya suratan amalan diterima melalui tangan kiri maka dia tergolong sebagai ahli neraka.
Manakala kedua kaki pula hendaklah dipelihara dari melangkah ke tempat-tempat maksiat yang ditegah oleh syarak. Sebaliknya, menggunkan anggota tersebut dengan melangkah ke tempat-tempat seperti masjid atau surau untuk memperolehi kebaikan di dunia dan akhirat. Selain itu,  umat islam   disaran menggunakan kaki dengan tujuan memudahkan urusan orang lain, menziarahi  mereka yang uzur serta dalam urusan menghantar jenzah ke tempat perkuburan . Menyalahgunakan anggota  tangan dan kaki  akan  membawa kesan seperti kemalangan atau kecelakaan terhadap individu tersebut. Sesungguhnya di akhirat nanti segala anggota tersebut akan memberi kesaksian di atas apa yang dikerjakan di muka bumi ini sebagaimana Allah SWT  telah befirman  “\”Pada waktu itu Kami tutup mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.\” (Surah Yasin , ayat 65)

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Mac 2017
WhatsApp
Scroll to Top