SHEIKH Dr. Umar Faruq Abdullah, seorang tokoh ilmuwan dari Yayasan Imam Nawawi, Chicago Amerika Syarikat ketika bersiaran dalam rancangan Topik Jumaat di radio IKIMfm telah bercakap tentang “Islam itu Agama Rahmat dan Berakhlak Baik”. Beliau berada di Malaysia dalam rangka menyertai program “Reviving the Islamic Tradition” anjuran YADIM dan Al-Naqiy Solutions yang diadakan pada 4-5 Mac 2017 yang telah dihadiri oleh lebih 3000 orang peserta. Beliau menjelaskan bahawa perkataan “rahmah” yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “mercy” seringkali sekadar membawa makna “kemaafan”, sedangkan “rahmah” itu bukan sekadar kemaafan tetapi lebih daripada itu. Rahmah bermaksud memberikan setiap sesuatu apa yang mereka berhak mendapatkannya samada terhadap manusia, haiwan dan sekalian makhluknya. Allah SWT memberikan manusia di bumi, ikan di laut dan singa di hutan apa yang perlu bagi mereka untuk hidup di bumi, dalam lautan dan di hutan belantara, berdasarkan rahmatNya. Dalam sebuah perkahwinan yang sempurna di sana ada “mawaddah” dan “rahmah” di mana mawaddah membawa maksud “kasih sayang melindungi” sepertimana kasih sayang seorang ibu yang ingin melindungi anaknya, manakala rahmah pula membawa maksud pasangan itu bersedia memberi kemaafan kepada pasangannya atas segala kelemahan dan kekurangan yang dimiliki, dan dalam masa yang sama bersedia untuk memberikan apa sahaja bagi menyempurna dan melengkapkan kesempurnaan pasangannya menjadi seratus peratus. Rahmah ialah sifat Allah SWT sebagai Sang Pencipta yang dianugerahkan kepada makhluk untuk menjadi apa yang sepatutnya mereka berfungsi.
Adapun apabila kita bercakap tentang “kasih sayang”, ia membawa maksud yang pelbagai dan mempunyai banyak jenis antaranya “mawaddah”. Mawaddah dalam sebuah perkahwinan misalnya adalah salah satu bentuk kasih sayang yang bukan semata menzahirkan cinta antara dua insan, tetapi juga mengambil berat akan kebajikan pasangannya. Sebagai contoh, jika isteri mendapati suaminya seorang yang menghisap rokok, maka mawaddah menuntut isteri agar menasihati suaminya berhenti merokok kerana ia memudaratkan kesihatan pasangannya. Mawaddah bagi seorang doktor ialah dia akan bertungkus lumus memastikan pesakitnya mendapat rawatan yang terbaik dan cuba menyembuhkan penyakitnya. Mawaddah bagi ibubapa pula ialah mereka berjaga malam, bangun di dinihari bagi memberikan susu dan keperluan untuk anak kecilnya yang menangis, menukar lampinnya dan lain-lain. Mawaddah ini adalah bentuk kasih sayang yang bersifat praktikal. Jenis kasih sayang yang seterusnya ialah “mahabbah”. Mahabbah pula membawa maksud kebersamaan sepertimana biji dan isi yang bersama bagi sebuah buah. Mahabbah juga dikira tingkatan tertinggi bagi jalan kerohanian iaitu “cinta kepada Allah” di mana ia akan muncul setelah seseorang itu melalui proses yang lama diuji dengan pelbagai ujian dan proses penyucian rohani sehingga mencapai marifah atau ilmu mengenai Allah. Dr Umar turut mengungkapkan pesanan Sultan al-Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang mengungkapkan agar “jangan kamu lari daripada musibah kerana ia mengandung kebaikan yang banyak”. Benar kata-kata ini kerana jika diimbau betapa Baginda SAW sendiri diuji sejak daripada kecil lagi. Baginda SAW kematian ayahanda dan bondanya sejak kecil lagi. Kemudiaan datuknya meninggal, bapa saudaranya dan begitu juga isterinya tercinta Sayyidatina Khadijah RA ketika beliau sedang bertungkus lumus memperjuangkan Islam. Baginda SAW terus menerus diuji oleh Allah SWT dalam setiap saat kehidupan Baginda SAW termasuk cubaan dibunuh, peperangan dan lain-lain. Namun ujian dan musibah yang menimpa Baginda SAW itu telah mendidik, mematangkan Baginda SAW sehingga Baginda SAW menjadi utusan Allah atau Rasulullah yang ulung dan hebat.
Apabila seseorang itu kenal Allah SWT dengan sebenar-benarnya, maka sudah pasti dia akan mencintai Allah SWT kerana mana mungkin orang yang kenal Allah SWT tidak mencintai Allah. Kecintaan itulah dinamakan Mahabbah. Kalimah seterusnya ialah “salam” pula membawa maksud kesempurnaan, keberadaan dalam keadaan aman dan selamat. Salah satu nama Syurga dinamakan “Al-Salam” kerana segalanya dalam syurga adalah sempurna. Cuma apabila kita bercakap tentang “aman” ia bukan sekadar berlawanan dengan “peperangan” atau huru hara, tetapi ia lebih luas daripada itu. Salah satu nama Allah SWT juga “al-Salam” yang selain membawa maksud selamat, ia juga membawa maksud kesempurnaan dalam serba serbi tanpa sebarang cacat cela. Allah SWT lah yang memberi keamanan, keselamatan dan kedamaian kepada sekalian makhluknya.
Dr Umar turut mengingatkan bahawa tempat manusia yang sebenarnya adalah Syurga dan sekalian taman-tamannya. Adapun dunia ini, ia merupakan syurga atau taman-taman bagi haiwan yang melata dan sepatutnya manusia tidak berbuat sesuka hati di atas mukabumi hingga mencabuli kedamaian dan keharmonian haiwan-haiwan. Lantaran itulah dalam buku-buku fekah Islam ada menyebut tentang bagaimana sepatutnya berinteraksi dengan makluk-makluk lain agar hak-hak mereka turut dipelihara. Islam terlebih dahulu menjuarai “animal rights” atau pejuang alam sekitar mendahului masyarakat Barat.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Mac 2017