Darjat Tertinggi Di Syurga

Para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW agar menerangkan kepada mereka bagaimana sifat dan ciri-ciri syurga sebagaimana yang terdapat di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Tarmizi dan al-Darimi. Baginda menceritakan batu-bata syurga diperbuat daripada emas dan perak, simennya daripada kasturi yang harum baunya, kerikil dan pasir terdiri daripada permata yakut. Rasulullah bersabda lagi, barangsiapa yang menjadi penghuni syurga maka akan kekallah dia dan tidak akan mati. Mereka akan bersorak kegembiraan di dalamnya tanpa pernah berasa sedih, pakaian yang dipakai tidak akan luntur atau rosak walau sedikit pun. Allah menjadikan penghuni syurga kekal di dalamnya buat selama-lamanya.  
Kunci syurga pula adalah dikalangan manusia yang hidupnya dengan berpegang kepada kalimah tauhid lailaha illallah muhammadur rasulullah dan menyebutnya di akhir kehidupan mereka dan golongan ini dijamin menghuni syurga Allah. Menurut perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati di radio IKIM pada hari Khamis jam 5.15 petang, solat juga merupakan kunci kepada pintu syurga. Manusia yang sangat menjaga solatnya dengan sempurna merupakan mereka yang dipilih untuk masuk ke dalam syurga. Tidak dapat dinafikan manusia yang mempunyai kedudukan tertinggi di dalam syurga diperuntukkan kepada Rasulullah SAW. Daripada Jabir bin Abdullah menyebut bahawa Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang mendengar azan dan berdoa, wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad, mereka yang menyebutnya adalah halal bagiku untuk memberi syafaat kepada dirinya pada hari akhirat nanti.”
Golongan tertinggi di syurga selepas Baginda SAW ialah manusia yang mati syahid di jalan Allah. Di dalam kehidupan manusia terdapat lima pegangan sebagai panduan hidup dan pertamanya ialah Allah sebagai matlamat di atas apa jua pekerjaan dan amalan dan sekiranya tergelincir daripada pendirian ini, maka manusia akan kecewa di Akhirat kelak. Pegangan kedua ialah Rasulullah sebagai pemimpin, idola atau contoh di dalam kehidupan manusia, ketiga ialah al-Quran menjadi perlembagaan hidup. Pegangan keempat  ialah jihad yang menjadi jalan hidup, sebagaimana yang disebut Rasulullah SAW, “Sesiapa yang di dalam hidupnya bersungguh-sungguh mencari jalan untuk masuk ke dalam syurga Allah, akan ditunjukkan kepadanya jalan yang mudah baginya untuk masuk ke dalam syurga.” Kesungguhan itulah yang dikenali sebagai jihad yang mendorong sesorang untuk mati syahid ke jalan Allah yang merupakan pegangan kelima di dalam kehidupan manusia. Nu’aim bin Hammar meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, syuhada seperti apakah yang paling utama?”. Baginda menyebut, “Syuhada yang paling utama ialah orang yang apabila dia berada di dalam saf peperangan itu, dia tidak berpaling untuk melarikan diri, sehingga mereka terbunuh di jalan Allah. Mereka itulah yang akan menginjak kakinya ke bilik-bilik yang tertinggi di dalam syurga. Allah akan tertawa melihat tingkah-laku mereka ketika berjalan masuk ke dalam syurga. Kalaulah Allah ketawa kepada seseorang itu, ertinya Allah mengalu-ngalukan kehadirannya maka sesungguhnya mereka tidak akan dihisab di hari Akhirat kelak.  
Orang-orang yang suka memelihara anak yatim melayakkan mereka diganjari syurga yang hampir dengan Rasulullah SAW. Baginda sering berpesan, “Saya dan orang yang menjaga anak yatim seperti jari ini di syurga nanti (sambil menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah Baginda), menunjukkan bahawa dekatnya aku dengannya di syurga nanti.” Mengambil berat terhadap anak yatim tidak semestinya mengambil tindakan memisahkan mereka daripada ibunya yang lebih berhak menjaga mereka. Penjagaan anak yatim boleh dilakukan di rumah mereka sendiri, selain mengambil berat hal pengajian atau persekolahan, keselesaan hidup mereka dan lain-lain.  
Selain itu, orang-orang yang beroleh ganjaran syurga tertinggi ialah mereka yang menyantuni ibu-ibu tunggal dan orang-orang miskin. Rasulullah mengingatkan orang yang menyantuni para ibu yang kehilangan suami dan orang-orang miskin di jalan Allah, mereka adalah seumpama orang yang berjuang di jalan Allah, pahalanya bagaikan orang yang solat tanpa berhenti dan orang yang bepuasa tanpa berbuka. Sesungguhnya mereka pemilik darjat tertinggi di dalam syurga Allah kelak.
Bagi orang yang menghafaz al-Quran dan beramal dengannya juga berhak diganjari syurga darjat tertinggi. Kedudukan manusia di syurga dinilai melalui berapa banyak al-Quran itu dihafaz sehingga ke penghujung usianya. Di syurga kelak akan ada manusia yang hidupnya tinggi kedudukannya di sisi Allah iaitu mereka yang ikhlas di dalam amalannya.  Bersedekah dan melakukan pekerjaan dengan ikhlas, ikhlas mentaati perintah Allah menyebabkan kedudukannya berada di tempat tertinggi di sisi Allah sehingga berada di kalangan hamba-Nya yang salih.
Manusia perlu ada sesuatu di dalam dirinya agar dapat menjadi penghuni syurga dan beroleh kedudukan tertinggi. Pertamanya ialah perlunya ilmu dan sentiasa belajar sepanjang hidup yang akan mendorong kita untuk melakukan perkara yang terbaik untuk diri sendiri. Namun ramai di kalangan manusia yang berada di dalam keadaan hanyut tetapi mengharapkan darjat tertinggi di sisi Allah dan akhirnya meninggal dunia di dalam keadaan tiada apa-apa amalan untuk dibawa menghadap Allah SWT. Sedangkan orang yang melakukan amalan ketika hidupnya sekalipun masih ada yang tidak diterima oleh Allah kerana kelalaian mereka. Oleh itu berusahalah untuk beramal dengan ilmu yang diperolehi dan tabah melakukannya tanpa berputus asa. Berdoalah agar kita tergolong di kalangan manusia  yang terpilih menghuni syurga Allah walaupun dirasakan amalan yang dilakukan tidak melayakkan diri untuk diganjari syurga, kerana sesungguhnya Allah menyukai hambanya yang meminta dan tidak sombong dengan-Nya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Mac 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top