HIDUP adalah amanah Allah SWT kepada setiap manusia yang perlu diurus dengan sejujurnya. Setiap manusia di alam ini mesti mengurus kehidupan mereka dengan penuh amanah dan taat kepada perintah Allah dan Rasul.
Menerusi rancangan Tarbiah yang disiarkan di radio IKIMfm setiap Jumaat jam 10.15 pagi Ustazah Norhafizah Musa menyatakan permulaan penghidupan yang terbaik adalah selalu mengadu, mengharap dan meminta hanya kepada Allah SWT.
Sebagai manusia yang lemah, hina dan rendah di hadapan Allah SWT, setiap mukmin itu perlukan kekuatan spiritual yang akan menjadikannya kuat berdepan dengan ujian dan cabaran kehidupan. Justeru amalan seperti berzikir, berwirid, membaca al-Quran amatlah ditekankan supaya dengan amalan-amalan ini akan menjadikan hati manusia sentiasa kuat mendepani kehidupan yang penuh cabaran ini.
Dalam mengurus kehidupan untuk memperolehi hasil yang baik, seseorang manusia berusaha sebaik mungkin mengutip pelbagai ilmu pengetahuan, latihan atau kemahiran supaya kehidupan mereka dapat dilaksanakan dan diuruskan dengan sempurna.
Namun, pengurusan luaran yang dapat dilihat secara zahir ini akan lebih bermakna sekiranya seseorang mukmin itu berusaha mengurus dan mentadbir hati mereka terlebih dahulu.
Belajarlah memulai pengurusan hati dengan mencari formula untuk memperolehi hati yang kuat, tenang, mapan dan dan utuh dengan terpandu oleh ilmu dan cahaya al Quran serta sunnah Rasulullah SWT. Apabila hati dapat diurus dengan berlandaskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, nescaya apa juga rintangan kehidupan akan dapat dilalui dengan mudah dan tenang.
Seperti yang dibingkiskan dalam ayat suci al-Quran menerusi surah al A’laa ayat 1 yang bermaksud “Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan)”. Justeru lazimkan lidah dan hati mengagung-agungkan Allah, memuji-mujilah kekuasaanNya untuk mendidik hati agar sentiasa membesarkanNya dan dalam masa yang sama merendahkan diri disisiNya.
Ustazah Norhafizah memberi saranan bagi mengurus hati supaya kuat dan tenang, antaranya adalah memastikan hati itu bersih untuk benar-benar meyakini bahawa segala yang terjadi adalah kehendak dan segalanya di alam ini berada di dalam kekuasaan Allah SWT.
Sama ada ujian sakit, ujian musibah atau apa juga bentuk cabaran yang dilalui seseorang mukmin itu, jika difahami oleh hati yang bersih, pastinya melihat setiap ujian itu adalah kehendak Allah yang terbaik ditakdirkan untuk manusia. Hati yang bersih dan yakin dengan kekuasaan Allah tentunya merasa lapang walaupun sedang melalui saat yang sulit kerana yakin akan apa sahaja yang berlaku itu adalah kehendakNya.
Hakikatnya dalam mengurus kehidupan yang bermacam ragam, seseorang mukmin jangan sesekali lupa untuk memulai menguruskan hati sendiri. Umpamanya jika mahukan kekayaan rezeki, bermohon kepada Allah Yang Maha Pemberi Rezeki, jika mahukan kesembuhan, rapatkan diri dengan Yang Maha Penyembuh dan begitu juga jika mahukan hidayah, berbaiklah dengan Allah Pemberi Hidayah kepada setiap manusia.
Dalam ayat suci al-Quran surah Ath Thuur ayat ke 48, Allah berfirman yang bermaksud “Dan bersabarlah Wahai Muhammad dalam menunggu ketetapan Tuhanmu, maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan Kami, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu ketika kamu bangun berdiri berdiri”.
Hati yang yakin akan kekuasaan Allah, percaya bahawa keseluruhan hidup ini dibawah penaklukan Allah SWT, walau apa juga rintangan berkaitan persoalan hidup, beban hidup dan kesulitan hidup, akan mampu dilalui dengan hati yang redha. Bahkan hati itu selalu merasa bersyukur dengan ujian kerana yakin ujian-ujian itu adalah tanda kasih sayang Allah untuk meningkatkan darjat manusia.
Sebagai manusia yang tidak sempurna, serahkan sepenuhnya hati ini kepada Allah SWT. Biarkan sahaja Allah yang Maha Mengetahui mengurus hati kita walau dalam keadaan apa sekalipun. Kembalikanlah hati yang lemah ini kepada pemiliknya iaitu Allah taala. Jika sekeping hati yang tidak punyai apa-apa ini diberikan kepada yang berhak, nescaya DIA akan mentadbir hati ini dengan nilai yang amat tinggi dan bermakna di sisiNya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Mac 2017