DALAM Islam, hidup berpasangan merupakan fitrah kehidupan. Allah SWT menciptakan manusia hidup berpasangan yang saling memerlukan antara satu sama lain, sekali gus mewujudkan perasaan kasih dan sayang (mawaddah wa rahmah) yang akan menyatu dan mengikatkan mereka sebagai pasangan bahagia.
Sewaktu menyambung kembali tajuk yang menyentuh tentang ’40 Ayat Al-Quraan Untuk Panduan Keluarga ’ dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang bersiaran pada hari Isnin jam 10.15 pagi di radio IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin menghuraikan makna yang terkandung dalam Surah Al-Rum ayat ke -21. Dalam ayat tersebut Allah SWT telah berfirman “Di antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah adalah Dia menciptakan dari sejenismu pasangan-pasangan agar (kamu) masing-masing memperoleh ketenteraman dari (pasangan) nya, dan dijadikannya diantara kamu mawaddah dan rahmah.
Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” Jika diperhatikan salah satu tiga kata kunci dalam perkahwinan yang digariskan dalam ayat tersebut ialah “litaskunu ilaiha” yang membawa maksud orang yang menjalani alam perkahwinan agar merasa terlindung dan dapat menjalani hidup dengan aman dan tenteram. Daripada ayat tersebut, dapatlah difahami bahawa sesebuah pernikahan itu dasarnya adalah ketenangan. Daripadanya, hubungan yang diharamkan di antara lelaki dan perempuan menjadi halal selepas akad pernikahan. Ia menghubungkan dua keluarga berbeza dengan tali persaudaraan dan persahabatan, terutama kepada suami dan isteri yang baru memasuki mahligai perkahwinan.
Menurut Muhammad, mengekalkan ketenangan dalam rumahtangga merupakan satu cabaran yang sangat hebat dan perlu digalas sebaik mungkin . Ketenangan dalam rumahtangga tidak akan wujud tanpa berusaha ke arahnya. Umpamanya, seorang suami yang mempunyai kuasa mutlak dalam keluarga seharusnya lebih bertolak ansur dan memahami keadaan isterinya dalam menempuh arus kehidupan dalam zaman yang serba moden ini. Tekanan kerja dan kos kehidupan yang semakin mencabar bukanlah alasan untuk mengabaikan tanggungjawab dan layanan kepada pasangan. Terdapat tiga syarat bagi mengekalkan momentum ketenangan dalam sesebuah rumahtannga .
Pertama adalah perlu memliki keimanan yang mantap. Suami isteri yang beriman akan menjalani aktiviti amal soleh di dalam bahtera rumah tangga sehingga lahirlah kehidupan yang tenang sebagaimana firman Allah SWT “Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…” (Surah An-Nahl, ayat 97) . Beriman merujuk kepada individu yang bukan sahaja percaya dan patuh kepada suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya malah berjaya membentuk sifat kehambaan terhadap Allah SWT. Sebagai hamba Allah SWT, kita adalah makhluk yang lemah dan memiliki banyak kekurangan.
Oleh yang demikian, hendaklah kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, menunjukkan dan mengakui kekurangan-keurangan tersebut dengan bersifat rendah diri dan merasa selalu memerlukan pertolongan Allah SWT. Dengan demikian , maka hati tersebut akan sentiasa bersih daripada mempunyai sifat-sifat mazmumah seperti takbur, dengki, ujub, suka membanggakan diri serta sfat-sifat tercela yang lain. Selanjutnya, ia akan menimbulkan keyakinan bahawa segala sesuatu itu tiada memiliki daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah SWt semata-mata.
Seterusnya, kedua-dua pihak perlu peka dengan tanggungjawab masing-masing setelah diijabkabulkan. Sekiranya suami dan isteri menjalankan tugas yang diamanahkan sebaiknya, tentu tidak akan berlaku pertelingkahan.Sebagai suami perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh berkesan. Antara tanggungjawab atau kewajipan suami terhadap isteri dan orang-orang yang di bawah tanggungannya adalah memberikan nafkah. Nafkah itu meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Kewajipan memberi nafkah timbul kerana ikatan pernikahan iaitu suami terhadap isteri dan anak-anaknya. Amatlah berdosa bagi suami yang menahan nafkah ke atas orang yang di bawah tanggungannya. Selain itu, dalam sesebuah institusi keluarga, suami perlu berani dan tegas pada diri sendiri sewaktu membuat keputusan serta memastikan seluruh ahli keluarga dijaga dan dibimbing sebaiknya mengikut jalan yang diredai Allah. Kehidupan berumah tangga banyak dugaan. Tidak sefahaman, sikap angkuh pasangan, campur tangan keluarga, penyakit, kewangan dan gagal menjalankan tanggungjawab menjadi antara puncanya. Justeru, dalam usaha mengekalkan ketenangan Islam menyarankan permasalahan rumah tangga diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Jika ada persengketaan antara suami isteri, perlu bermuhasabah untuk mencari punca krisis berlaku.
Dalam hal ini keikhlasan suami isteri amat penting. Setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Justeru pasangan suami isteri disyariatkan untuk saling mengingati antara satu sama lain dengan memberikan teguran secara beradab. Bukan mudah sebenarnya untuk mengharungi ombak badai yang sentiasa menghempas bahtera perkahwian. Namun pasangan selalu memperingati dan bermuhasabah diri, pasti setiap perkara yang dilalui akan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Februari 2017