ORANG baik akan sentiasa berusaha memperbaiki diri untuk membuat segala bentuk kebaikan. Proses membaiki diri ini berlaku sehingga kita bertemu Allah SWT kelak. Suatu kurniaan nikmat yang luar biasa bagi seseorang mukmin yang dapat menyuluh segala kekurangan dan kelemahan diri untuk tujuan membina kebaikan dalam kehidupannya.
Melalui rancangan Tarbiah yang disiarkan di radio IKIMfm pada jam 10.15 pagi, Ustazah Norhafizah Musa berkongsi beberapa panduan bagi seseorang mukmin untuk ikuti dalam usaha untuk melakukan islah diri agar kehidupan ini lebih bermakna dan seterusnya mendapat keredhaan Allah dunia dan akhirat.
Setiap manusia tidak boleh berputus asa dengan rahmat Allah, ertinya walau sekelumit atau sebesar kekhilafan yang dilakukan, seseorang mukmin harus bersangka baik dengan segala kebaikan Allah SWT kerana sifat Allah itu sendiri yang maha baik.
Allah tidak akan membiarkan hambanya yang bertaubat untuk terus berada dalam kegelapan melainkan akan diberi keampunan dan kasih sayang Allah mengatasi segalanya di alam ini.
Justeru, setiap mukmin itu hendaklah sentiasa berusaha melakukan sesuatu agar dirinya menjadi jalan kebaikan kepada orang lain. Oleh itu, beliau menyarankan agar seseorang mukmin itu tidak berhenti memanjatkan doa kepada Allah SWT memohon kebaikan dariNya dengan doa seperti “ Ya Allah, berilah segala kebaikan itu buat diriku, bukalah segala pintu kebaikan untuk diriku dan seluruh alam ini. Biarlah kebaikanku ini membuka jalan kebaikan bagi insan-insan yang lain.
Pasakkan keyakinan dalam diri bahawa Allah Maha Pengampun dan tidak pernah jemu mengampunkan dosa setiap hambanya. Seandainya ada harapan dan impian bagi hati seseorang manusia untuk melakukan islah diri, yakin akan segala kebaikan dan kasih sayang Allah SWT, mukmin itu tidak akan tertutup dari pintu taubat yang sentiasa terbuka untuknya.
Oleh itu bermohonlah dengan sebenar-benar permohonan dari hati yang tulus ikhlas, hati yang benar-benar insaf dan taubat yang sebenar-benarnya untuk tidak lagi kembali kepada kesilapan yang pernah dilakukan. Yakin dengan setulusnya bahawa sebesar manapun dosa yang dilakukan, Allah SWT yang maha baik akan selalu membuka pintu pengampunan buat hambanya yang mengharapkan keampunan Allah SWT.
Melakukan Islah diri juga adalah dengan cara membersihkan hati dengan ayat-ayat suci al-Quran seperti surah al-Kahfi yang sering dibaca pada hari Jumaat, yang mengandung banyak sekali kisah teladan di dalamnya untuk mendidik hati agar merasa rendah diri dan mengkagumi kekuasaan Allah SWT. Itu juga cara untuk mukmin memperolehi keikhlasan dalam bertaubat agar walau sekecil silap dan salah yang dilakukan itu dapat dilihat dengan mata hati supaya taubat itu benar-benar bermakna.
Jika meneliti akhlak orang-orang soleh yang hidup mereka dengan selalu bertaubat kepada Allah dan ikhlas dalam memohon keampunan kerana takut akan azab Allah SWT, sehingga di kala melakukan ibadat solat malam atau menangis memohon pengampunan Allah SWT sekalipun tetap tidak terzahir di hadapan manusia lain yang berada di sekeliling mereka.
Meneladani perbuatan dan akhlak Saidina Umar Abdul Aziz yang saat dia berbicara (berceramah) jika terasa riak pada kata-katanya, lalu dia akan memendekkan ceramahnya itu, begitu juga pada saat dia menulis, jika terdetik dalam hatinya rasa riak terhadap penulisannya itu, lalu dia meringkaskan penulisannya itu, dan seraya itu juga terus beliau berdoa “Ya Allah aku berlindung daripada keburukan dalam hatiku, pada diriku, dan pada nafsuku”
Seseorang yang melakukan kesilapan, salah dan dosa akan menghitamkan hati. Hati yang hitam dan kotor dapat dibersihkan dengan taubat serta memohon keampunan daripada Allah taala.Titik –titik hitam dalam hati jika tidak disucikan dengan taubat dan tidak dibersihkan dengan perbuatan yang baik akan terus menggelapkan hati yang lama-kelamaan akan mematikan hati itu sendiri.
Justeru, mukmin itu hendaklah sentiasa melazimi diri dengan memperbanyakkan istigfar. Proses untuk membersih diri dari dosa dan hati yang hitam adalah dengan menginsafi kesalahan yang dilakukan dan selalu memperbaharui niat agar setiap waktu diri sentiasa terbimbing untuk melaksanakan amalan serta perbuatan yang diperintah oleh Allah dan menjauhi segala laranganNya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 Februari 2017