Anjakan Paradigma Dalam Institusi Rumah Tangga

SESUATU yang perlu kita sedar adalah perubahan itu mesti dan akan terus berlaku. Lihatlah sendiri fizikal kita yang selalu mengalami tranformasi setiap detik, atau perhatikanlah pohon yang ditanam di hadapan rumah kita sejak sepuluh tahun yang lalu, kini mungkin sudah berbuah dan menebarkan manfaat kepada manusia di sekelilingnya, atau amatilah tempat yang kita  pijak  pada hari ini, adakah betul-betul sama seperti yang semalam? Perubahan itu mesti dan akan terus berlaku seiring dengan perjalanan masa. Masa pula akan terus berjalan, seiring dengan perkembangan minda dan otak manusia.
Sewaktu berbicara tajuk mengenai ‘Rahsia  Dua Alif ‘ dalam rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm pada Isnin jam 10.15 pagi, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin berkata ada di antara kita  yang telah memasang niat dan memiliki daya kesungguhan serta  keazaman yang begitu tinggi dalam melakukan sesuatu perkara, namun demikian kurang bersedia   berhadapan dengan beberapa halangan untuk maju ke hadapan.
Dalam erti kata lain, kita semua mahukan perubahan tetapi tidak tahu bagaimana dan dari mana hendak memulakannya  dan bimbang perubahan tersebut tidak akan bertahan lama.  Justeru Muhammmad  menggariskan dua perkara yang mampu menggerakkan kita melakukan anjakan paradigma untuk berdaya saing.  Bagi mencapai misi tersebut, seseorang itu perlu  berani memulakan  atau disebut dalam bahasa Arab sebagai “ibtida’”.
Umpamanya, dalam membina  institusi keluraga yang harmoni semua anggota keluarga  perlu meletakkan sasaran masing-masing. Ketika berada di rumah  suami dan isteri disaran untuk terus berusaha menimba  serta memantapkan sebanyak  ilmu dan kemahiran kekeluargaan menerusi pembacaan ataupun mengikuti kursus-kursus kemahiran keibubapaan yang dianjurkan oleh badan-badan dan pakar kaunselig keibubapaan.
Selain itu,  dalam konteks ibtida’, si isteri diseru memaninkan peranan dengan  berusaha mencari kaedah  dalam meningkatkan kasih sayang terhadap suami. Manakala peranan sebagai anak pula, mereka  perlu menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa sepanjang hayat mereka. Perkara tersebut  telah dihuraikan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah.  Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah Ahqaf, ayat  15)
Ibtida’  sebenarnya menuntut  seseorang itu  untuk melakukan perubahan pada masa sekarang dan tidak bertangguh dalam jangka masa yang lama. Ini kerana semakin lama bertangguh, ia akan menjadi semakin malas dan semakin susah untuk melakukannya. Perkara yang kecil akan jadi lebih besar sekiranya ia terus dibiarkan. Oleh itu, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang..Seterusnya setelah kita telah berjaya memulakan sesuatu usaha, maka perkara seterusnya yang perlu dititikberatkan adalah meyakini (I’timad) dengan apa yang diusahakan.
Membina rumah tangga bukan seperti membina istana pasir di tepi pantai, sekali ombak datang istana roboh berderai. Seboleh-bolehnya jadikanlah binaan itu kukuh, sekuat istana konkrit, biar dilanda ombak dan taufan ia tetap utuh dan teguh. Kepercayaan merupakan nadi utama dalam sesebuah ikatan . Malah, kepercayaan pada diri sendiri itu merupakan asas kepada kejayaan. Kehidupan suami isteri harus dibangunkan  di atas landasan saling  percaya- mempercayai.
Suami harus  percaya bahawa isterinya adalah wanita solehah  yang setia. Begitu juga dengan isteri yang juga harus  percaya bahawa suaminya adalah suami soleh yang mampu  mejandi pendamping setia hingga ke akhir hayat. InsyaAllah, dengan membina kepercayaan sebegini  meskipun  terdapat  dugaan dan cabaran di sebaliknya, suami isteri pasti mampu melaluinya dengan penuh tenang . Di samping itu kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, harus yakin dan percaya bahawa Allah SWT  menentukan segala tadkdir yang berlaku. Untuk itu, bermunajatlah dan sujudlah kepada-Nya   agar diberikan takdir yang baik.
Bagi mengekalkan momentum  ibtida’ dan I’timad , maka perlulah kita menerapkan sifat istiqamah iaitu perbuatan dan amalan yang meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan  kebenaran dalam perbuatan seharian.Ciri-ciri orang yang beriman  adalah  tidak takut dan  sentiasa berduka  dalam hidup. Sebaliknya, mereka cepat bertindak  serta tidak suka bertangguh-tanggguh  dalam melenyapkan sesuatu yang merungsingkan diri mereka. Oleh itu, mulakanlah  pada hari ini melakukukan perubahan dalam diri.   Elakkan  bertangguh untuk tempoh yang lama dan letakkan kepercayaan  apabila melaksanakan  tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 Januari 2017
WhatsApp
Scroll to Top