Dzul Bijadain

PENGORBANAN para sahabat terdahulu dalam kisah memilih keimanan daripada hanyut dengan hasutan dunia perlu kita jadikan pedoman bersama. Wajar kita hayati kisah kehidupan insan-insan terbaik yang ada kaitan kisah mereka dengan Sayyidul Wujud, Rasulullah SAW. Begitu benar kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW dan begitu juga sebaliknya Rasulullah SAW membalas kecintaan mereka.

Melalui segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu, Ustaz Muhammad Hazri Hashim Al-Bindany berkongsi kisah seorang lelaki yang mana Rasulullah SAW pernah mendoakan beliau dengan doa yang bermaksud : “Ya Allah, Aku sangat redha kepada dia, maka redhailah dia”. Beliau yang dibicarakan ustaz ialah Dzul Bijadain atau nama sebenarnya Abdullah al-Muzany r.a. Beliau lahir di suatu tempat yang bernama Warqan. Sebuah kawasan pergunungan yang dingin dan nyaman yang terletak di sebelah kanan perjalanan dari Makkah menuju ke Madinah. Di lokasi inilah lahirnya seorang lelaki yang asalnya diberi nama Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm al-Muzany.

Sepanjang membesarnya Abdullah di bawah jagaan bapa saudaranya yang kaya raya, beliau tidak pernah sekalipun mendengarkan kisah agama baharu. Sehinggakan Yathrib (Madinah) didatangi dengan Islam dan sinar agama baharu yang telah tersebar beritanya itu. Saat itu, Abdullah mula mencari-cari apakah sebenarnya agama baharu yang diperkatakan yang dibawa oleh Muhammad SAW. Beliau mula mendengar dan bertanya-tanya kepada orang-orang di jalanan yang melalui kawasan perkampungannya itu dengan penuh keinginan untuk mengetahui hakikat sebenar agama tersebut.

Atas keinginan yang tinggi dan terlalu asyik untuk mengetahui perihal agama Allah SWT, akhirnya Allah SWT membukakan pintu hatinya untuk menerima hidayah-Nya dan memeluk agam Islam. Dibukakan hatinya sedalam-dalamnya untuk sinar iman itu meresap ke dalam jiwanya. Sehinggalah akhirnya, beliau mengucapkan lafaz syahadah sebelum beliau melihat Rasulullah SAW. Beliau merupakan orang pertama di kalangan kabilahnya, Kabilah Muzainah serta orang Warqan pertama yang memeluk Islam. Abdullah terus menyembunyikan keislamannya itu daripada pengetahuan bapa saudaranya kerana beliau mengetahui kuatnya pegangan agama bapa saudaranya terhadap agama nenek moyang mereka.

Beliau terus mengamalkan Islam dalam keadaan sembunyi dan pergi ke kawasan hutan untuk beribadah, jauh daripada pengetahuan bapa saudaranya. Beliau sabar menunggu dan berharap agar bapa saudaranya juga dapat memeluk agama Islam dan membolehkannya bersama bapa saudaranya untuk pergi menemui Rasulullah SAW yang sangat dirinduinya. Setelah lama beliau memeluk Islam, namun tidak pernah sekali bersua dengan Rasulullah SAW.

Setelah lama berlalu, beliau terus buntu apakah cara untuk beliau menemui Rasulullah SAW dan bapa saudaranya semakin lama semakin memusuhi Islam. Selama itu juga, beberapa peperangan juga telah berlalu. Beliau sangat bimbang andai kata beliau tidak dapat kemuliaan untuk turut sama berjuang mempertahankan Islam. Dia juga benar-benar ingin mendengarkan bacaan ayat-ayat al-Quran langsung daripada Rasulullah SAW serta beliau turut ingin solat berimamkan Rasulullah SAW.

Setelah lama bersabar menunggu keislaman bapa saudaranya. Maka, perasaan Abdullah membuak untuk menyatakan kepada bapa saudaranya tentang keislamannya. Setelah dimaklumkan tentang keislamannya kepada bapa saudaranya itu, maka terus membara kemarahan bapa saudaranya lantas berkata “Aku bersumpah demi Lata dan Uzza, sekiranya engkau memeluk Islam, maka akan aku pastikan engkau kembali kepada agama nenek moyangmu. Dan sekiranya engkau ingkar dan tetap dengan Islam, maka aku akan ambil seluruh harta kekayaan dan kemewahan yang pernah aku berikan dahulu sehingga engkau kembali kepada keadaan asal engkau, miskin dan tidak punya apa-apa. Akan aku biarkan kamu kebuluran dan kelaparan sebagaimana miskinnya engkau dahulu.”

Akan tetapi, ancaman demi ancaman tersebut, tidak dapat menggugat hati dan perasaan keimanan Abdullah al-Muzany, malah tidak dapat melunturkan keazamannya untuk menyatakan keislamannya di hadapan orang ramai. Lalu, orang ramai mengikat dan memukulnya serta memaksanya meninggalkan Islam. Namun, keimananan yang utuh dalam diri Abdullah, tidak mematahkan semangatnya untuk terus mempertahankan Islam. Dengan itu, bapa saudaranya mengusirnya tanpa meninggalkan sedikitpun kekayaan buatnya melainkan hanya sehelai selimut yang tebal.

Kemudian, berlalulah Abdullah meninggalkan kampung halamannya menuju ke Madinah berhijrah pergi kepada Allah dan Rasul-Nya. Dek kerana takut malu dilihat orang akan dirinya yang hanya berpakaian dengan sehelai selimut. Maka, dikoyakkan selimut tadi menjadi dua bahagian. Satu, dijadikan kain dan satu lagi dijadikan selendang. Maka dengan sebab itulah digelar Abdullah dengan gelaran Dzul Bijadain yang bermaksud “Orang yang Mempunyai Dua Selimut”.

Saat tiba di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dengan harapan dapat bersua dengan Rasulullah SAW. Ketika ramai jemaah masih lagi berehat menantikan saat fajar. Beliau bertanyakan dari pintu manakah Rasulullah SAW akan keluar untuk mengerjakan solat Subuh. Maka dipintu tersebut beliau menantikan Rasulullah SAW dengan kerinduan yang amat sehingga beliau tidak mampu tidur pada malam tersebut. Menjelangnya Subuh, saat Rasulullah SAW keluar melalui pintu tersebut, maka gugurlah airmata kerinduan Abdullah yang selama ini terasa ingin benar untuk bertemu dengan Rasulullah SAW.

Begitu hebat kecintaan para sahabat terhadap agama Allah SWT dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW sehinggakan Abdullah yang ditukarkan namanya oleh Rasulullah SAW ketika Baginda bertanyakan namanya, daripada Abdul Uzza kepada Abdullah sanggup meninggalkan segala kekayaan dunia dan memalingkan dirinya daripada kemewahan dunia kepada kebahagiaan akhirat. Semoga semangat kecintaan para sahabat demi mempertahankan akidah dapat kita hayati dalam kehidupan kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Januari 2017
WhatsApp
Scroll to Top