PERTENGKARAN yang berlaku di kalangan manusia tidak pernah berhenti sehinggalah ketika mereka kembali menghadap Allah SWT pada hari akhirat kelak malah keadaan ini berlanjutan sehinggalah berada di dalam neraka. Mereka berasa tidak berpuas hati terhadap balasan yang diterima dan menyalahkan sesama sendiri sewaktu dihumban ke neraka.
Allah SWT berfirman, “Dan berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: \”Inilah (Kitab catitan iman dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia (untuk dibicarakan)\”. (Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): \”Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam neraka Jahannam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya; -\”Yang sering menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang meragukan kebenaran, \”Yang menyembah benda yang lain bersama-sama Allah; maka humbankanlah oleh kamu berdua akan dia ke dalam azab seksa yang seberat-beratnya\”. (Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: \”Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong\”. Allah berfirman: \”Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah). \”KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti, dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu\”. (Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada neraka Jahannam: \”Adakah engkau sudah penuh? \” Ia menjawab: \”Adakah lagi sebarang tambahan?” (Surah Qaaf, ayat 23-30).
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang ke udara setiap Khamis di IKIMfm, turut menjelaskan dalil lain berkaitan pertengkaran ahli neraka, sebagaimana yang terkandung di dalam surah al-Zumar, ayat 31-32: “Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu. (Apabila berlaku yang demikian), maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?”. Pertengkaran di dalam neraka berlaku di antara suami dan isteri, pemimpin dan rakyat, majikan dan pekerjanya, kerana keingkaran dan kedegilan mereka ketika hidup di dunia dahulu.
Di antara sebab berlakunya pertengkaran sesama ahli neraka, kerana dahulu mereka menjadi penghalang kepada orang lain yang ingin melakukan kebaikan. Abu Said al-Qudri menyebut di dalam hadis yang menyatakan bahawa di dalam neraka akan keluar api yang mampu bercakap, “Hari ini aku ditugaskan untuk membakar tiga golongan manusia. Yang pertama ialah setiap orang yang sombong dan degil ketika hidup di dunia dahulu, kedua ialah orang yang menyengutukan Allah dan ketiga ialah orang yang membunuh orang lain tanpa sebab.” Lalu api akan menyelimuti, menarik dan menghumban mereka ke dalam neraka. Mereka dimasukkan ke neraka kerana mempunyai pertalian persahabatan di antara satu sama lain, sebagai pasangan suami isteri yang hidup mereka menyesatkan sesama sendiri, kerana silap memilih pemimpin yang menyesatkan hidup rakyatnya. Pertengkaran di kalangan ahli neraka itu hanya sia-sia kerana telah diberi peringatan oleh Allah ketika hidup di dunia dahulu untuk memilih pasangan hidup yang baik, memilih sahabat yang baik dan begitu juga untuk memilih pemimpin yang baik.
Anas bin Malik menyebut, Rasulullah SAW bersabda: “Dan tidak akan berhenti neraka Jahannam ini untuk terus mengisi, lalu ditanya ada lagikah ya Allah? Sehingga dihentakkan kaki-Nya ke neraka Jahannam itu, barulah ia berhenti. Cukup-cukuplah, demi kemuliaan dan ketinggian Kamu ya Allah, sedangkan di dalam syurga terus-menerus ia bertambah.” Sehingga Allah menciptakan makhluk lain dan menempatkan mereka ke dalam syurga. Sesetengah ulama berpandangan makhluk tersebut ialah mereka yang berada di kalangan al-A’raaf yang menunggu untuk dimasukkan ke dalam syurga. Penduduk neraka pula saling laknat-melaknat di antara satu sama lain. Orang yang terlebih dahulu masuk ke dalam neraka akan melaknat penghuni selepas mereka dan begitu juga sebaliknya, malah mereka juga saling bermusuhan.
Penghuni neraka saling melaknat kerana kekufuran, keingkaran dan kesyirikan yang telah mereka lakukan, dengan harapan agar Allah mengampunkan mereka, diselamatkan dan dimasukkan ke dalam syurga. Surah al-A’raaf, ayat 38-40: “Allah berfirman: \”Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: \”Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka\”. Allah berfirman: \”Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui\”. Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): \”(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami\”. (Allah berfirman): \”Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan\”. Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.”
Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa setiap manusia merupakan pemimpin dan bertanggungjawab terhadap mereka yang berada dibawahnya. Pemimpin yang ingkar kepada Allah akan turut mengheret rakyatnya ke dalam neraka. Apabila rakyat dihumban ke neraka, mereka berdoa: : “Wahai Tuhan kami, gandakanlah kepada pemimpin kami berkali ganda azab ke atas mereka, dan bukan sekadar itu ya Allah, kemudian laknatlah mereka dengan laknat yang besar kepada mereka.” Sedangkan rakyat yang dihumban ke neraka itu juga akan turut dilaknat kerana kesilapan memilih pemimpin di kalangan mereka. Setiap pemimpin harus mengingatkan rakyatnya bahawa dia juga akan bertanggungjawab ke atas mereka di hadapan Allah pada Hari Akhirat kelak untuk membawa rakyatnya ke syurga. Di antara manusia yang mendapat naungan di bawah Arasy Allah di Padang Mahsyar nanti ialah para pemimpin yang adil yang akan segera dimasukkan ke syurga sekiranya mereka sentiasa menjaga syariat beragama.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Januari 2017