PADA Hari Akhirat kelak, manusia dibahagikan kepada tiga golongan iaitu kelompok manusia yang beriman kepada Allah dan disediakan kejayaan oleh Allah di dalam hidup mereka. Kelompok kedua terdiri daripada orang yang munafik iaitu mereka yang memilih melakukan dosa ketika hidup, munafik dari segi akidah, ibadah atau akhlak. Kelompok ketiga pula di kalangan manusia yang kafir, yang tidak beriman kepada Allah dan hari pembalasan. Kebanyakan umat manusia terdiri di kalangan mereka yang munafik, dan di antara ciri-ciri manusia yang munafik ialah apabila bercakap sering berbohong, seringkali memungkiri janji dan mengkhianati tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya.
Azab yang dikenakan Allah kepada golongan kafir dan munafik pada Hari Akhirat, mereka diheret di dalam keadaan mukanya ke bawah dan dihumban ke dalam neraka. Firman Allah, “Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada dalam) api neraka. Semasa mereka diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api neraka”.(Surah al-Qamar, ayat 47-48). Qatadah menyebut, apabila golongan ini diseret ke neraka, sesekali mereka ditarik di atas air panas yang menggelegak. Di dalam Surah Ghaafir, ayat 70-72: “Iaitu orang-orang yang mendustakan Al-Quran dan segala yang dibawa oleh Rasul-rasul Kami yang telah Kami utus; maka mereka akan mengetahui kelak. Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseret Ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka;”.
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi perkongsiannya di dalam slot Mau’izati di IKIMfm, menceritakan azab seterusnya yang dikenakan kepada golongan kafir dan munafik iaitu mereka dikumpulkan di dalam neraka di dalam keadaan buta, bisu dan tuli. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Israa’ ayat 97: “Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkan-Nya maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain daripada-Nya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang.” Ini kerana ketika mereka hidup di dunia dahulu, golongan ini membutakan mata mereka daripada melihat ayat Allah, memekakkan telinga kerana tidak mahu mendengar dan membisukan mulut kerana tidak mahu berbicara mengenai kebenaran agama Allah. Malah Rasulullah sendiri sering mengingatkan manusia agar menyebut tentang kebenaran walaupun pahit.
Keadaan ketiga bagi golongan kafir dan munafik ialah Allah mula membolak-balikkan wajah mereka di dalam keadaan tidak mampu menahan azabnya dibakar api neraka seperti dipanggang di dalam neraka. “Kalaulah orang-orang kafir itu mengetahui apa yang akan menimpa mereka ketika mereka tidak dapat menahan atau mengelakkan api neraka dari muka dan belakang mereka, dan mereka pula tidak diberi pertolongan, (tentulah mereka segera beriman, dan tidak berkata demikian).”(Surah al-Anbiyaa’, ayat 39). Selain itu golongan ini dijadikan Allah di dalam keadaan hancur luluh segala daging mereka dan dipakaikan baju yang diperbuat daripada api neraka. Sewaktu disiram air yang menggelegak di atas kepala penghuni neraka, maka hancur daging yang ada pada perut dan kulit mereka, malah pada ketika itu juga dipukul dengan cambuk-cambuk besi. Abu Hurairah berkata, “Sesungguhnya hamim (sejenis tembaga yang panas menggelegak) akan dituangkan di atas kepala mereka. Lalu dimasukkan ke dalam tempurung kepala mereka dan mengalir ke bahagian perut sehingga putus urat-urat perutnya, meleleh dan keluar ke bahagian kaki, kemudian kembali semula kepada keadaan asal.”
Neraka yang menempatkan golongan kafir dan munafik ini disempitkan Allah yang hanya memuatkan ukuran badannya dan sangat padat. Ketika hidup di dunia dahulu, mereka ini tidak mempercayai akan tibanya hari pembalasan dan Padang Mahsyar. Firman Allah di dalam surah al-Furqaan, ayat 11-14: “(Mereka bukan sahaja mendustakanmu) bahkan mereka juga mendustakan hari kiamat; dan Kami telah sediakan bagi sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu, api yang menjulang-julang. Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang menggelegak dan mengeluh. Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan dari azab itu). (Lalu dikatakan kepada mereka): “Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya)”. Apabila Rasulullah bercerita tentang agama, Baginda juga turut bercerita tentang Akhirat kerana untuk menyelamatkan diri bukan di dunia tetapi terselamat pada Hari Kiamat kelak. Baginda sering mengingatkan kita agar mempersiapkan diri menghadapi Hari Kiamat dan tidak mempersoalkan bilakah akan berlakunya hari pembalasan.
Ibnu Abbas menuturkan, sesungguhnya seseorang itu akan diseret ke neraka, lalu kedengaran neraka itu menarik nafas seolah-olah seperti seekor keldai, kemudian bernafas dihadapan gandum, sehingga tidak tersisa seorang pun kecuali rasa takut di saat mendengar api neraka yang menarik dan kedengaran seperti ingin menerkam manusia. Sempitnya keadaan penghuni neraka seperti sempitnya besi di bahagian bawah tombak, malah penghuni neraka akan diazab berulang-ulang kali. Keadaan keenam bagi penghuni neraka di kalangan golongan kafir dan munafik, mereka dijatuhkan ke dalam neraka bagaikan orang yang terjatuh daripada gunung. Di dalam cubaan untuk naik semula, mereka ditolak dan berasa gayat, dan keadaan itu berterusan tanpa henti. Azab lain bagi penghuni neraka merupakan pendakian ke bahagian atas neraka yang sangat menyukarkan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Januari 2017