Merancang Kehidupan (Siri 2)

SETIAP azam bukan sekadar kemas tertulis di atas kertas, tetapi di harap dapat di ukir indah dalam kehidupan. Tiada istilah lambat dalam merencana dan melakukan kebaikan. Sesungguhnya, aturan Allah sentiasa tepat pada masanya. Bak kata bijak pandai, sesamar-samar tulisan lebih baik daripada sekuat-kuat ingatan. Justeru, terjemahkan setiap keinginan dalam bentuk catatan. Catit dan semak berulangkali kemahuan diri sehingga mampu di realisasi.

Setiap perkara yang dirancang perlu berpaksi pada keimanan yang teguh. Jika tahap keimanan baik, sebarang kekurangan yang wujud pada bidang lain iaitu kesihatan, ilmu, perhubungan malahan aspek harta kewangan dan kerjaya mampu di tampung dan diselia atur seeloknya. Sebaliknya, jika bidang yang lain cemerlang tetapi bidang keimanan lemah maka segala yang dirancang akan lintang-pukang.

Hubungan asas dan teras antara hamba dengan Tuhan adalah solat. Solat adalah zikir yang paling sempurna dan utama dalam memberi ingat tentang Pencipta dan menyedarkan bahawa manusia hanya hamba padaNya. Solat mengandungi zikir kepada Allah menerusi lidah, hati dan anggota. Menerusi perhubungan itu, secara tidak langsung akan mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah SWT mafhumnya: \”Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.”

(Surah Taha, ayat 14).  Selain zikir terhebat, solat juga adalah doa dan permintaan. Doa adalah makanisme penghubung antara manusia dengan Yang Esa.

Doa merupakan instrument mencapai solusi pada masalah dan ujian yang dihadapi. Oleh itu, manusia tidak boleh putus hubungan dengan Allah SWT dan sentiasa memohon pertolongan serta bergantung harap sepenuhnya pada yang Esa sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Surah Al-Fatir, ayat 15). Doa bukan sekadar permintaan, malah ia adalah kepasrahan jiwa dan keinginan serta penyerahan diri kepada Allah SWT. Menurut ahli psikologi, dengan berdoa akan memberikan aliran kuasa Yang Maha Kuasa datang kepada diri individu yang berdoa. Seumpama aliran wayar antara manusia yang lemah dengan Allah SWT Yang Maha Sempurna lagi Maha Gagah. Dengan doa aliran kuasa dan tenaga itu berlaku.

Sumber pemantapan iman ke dua selepas solat adalah Al-Quran. Bak kata Al-Hakim, “Jika ingin berbicara dengan Allah maka dirikanlah solat, dan jika ingin Allah berbicara dengan kita maka bacalah Al-Quran”. Sungguh, solat dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Justeru, jika berhajat untuk meningkatkan kualiti rohani semaklah 114 surat cinta daripada Allah SWT ini. Al Hasan al-Basri berkata, ”Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian menganggap al-Quran adalah surat-surat dari Rabb mereka. Pada malam hari, mereka selalu merenunginya, dan akan berusaha mencarinya pada siang hari.” Al-Quran adalah satu keperluan dalam hidup. Oleh itu, suburkan terapi Al-Quran menerusi tabiat cintakan ayat-ayat Maha Pemberi Cinta dalam setiap nafas yang di hela. Kaedah pengulangan adalah method yang menepati keinginan untuk menimbulkan ketagihan terhadap Al-Quran.

Selain itu, dalam usaha meningkatkan rohani lazimi lidah dan hati untuk berzikir serta berselawat. Destinasi kehidupan adalah untuk dekat dengan Allah melalui jalannya iaitu Rasulullah SAW menggunakan selawat sebagai kenderaannya. Ulamak menyarankan untuk berselawat sekurang-kurangnya 100 kali di siang hari dan 100 kali pada waktu malam. Nampak mudah tetapi percayalah hanya yang terpilih akan dapat menyicip lazatnya selawat ini.

Kalau kita tidak mampu membaca Al-quran, hati tidak mampu berselawat kepada Rasulullah, bukan kerana kita tidak memilih untuk peruntukkan masa untuk al-quran dan tidak disebabkan kita tiada ruang untuk berselawat tetapi amat malang kerana hakikatnya Al-quran itu yang tidak mahu memilih kita dan cinta rasul itu yang tidak memberi ruangnya untuk kita. Sungguh, al-quran tidak memerlukan kita tetapi sebaliknya kita yang mendambakan Al-quran itu. Buang ego, tolak segala keangkuhan. Ringankan lidah untuk berselawat, rajinkan mata melihat seterusnya membaca Al-Quran. Sesungguhnya Al-quran, zikir dan selawat adalah vitamin hati manusia. Dapatkan dalam dos yang di perlukan oleh kehidupan, agar yang hidup bukan sekadar tubuh tetapi juga hati dan roh.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 Januari 2017
\"2017-01-18\"
WhatsApp
Scroll to Top