Kewafatan Nabi Sulaiman AS

PENGAJARAN demi pengajaran telah Allah SWT titipkan menerusi ayat-ayat-Nya agar kita mengambil iktibar daripada kisah dan peristiwa yang telah terjadi. Sebaiknya, Al-Quran bukan sekadar untuk kita baca ayat-ayatnya, namun yang lebih baik adalah kita melihat dan mengkaji setiap intipati ayat yang dibaca.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman melalui segmen Ibrah berkongsi mengenai Kewafatan Nabi Sulaiman AS. Ustaz membawakan ayat al-Quran, Surah Saba’ ayat 14 di permulaan segmen yang bermaksud : Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.

Apabila melihat ayat ini, dapat kita lihat Allah SWT merakamkan peristiwa kewafatan Nabi Sulaiman AS di dalam al-Quran. Jarang kita dapati kisah-kisah kewafatan para anbiya’ di dalam al-Quran. Pasti kita tertanya, mengapa Allah SWT merakamkan kisah kewafatan Nabi Sulaiman AS ini di dalam al-Quran. Membaca terjemahan ayat tersebut sahaja secara kasar kita telah dapat menilai, Nabi Sulaiman AS yang hebat itu juga mati. Sehebat manapun kita, setinggi mana darjat dan kedudukan kita, pasti kita akan mati. Tiada seorang pun daripada kita akan terkecuali. Itu melalui penilaian kasar kita terhadap ayat tersebut.

Segmen Ibrah ini membawa kita melihat dan mengkaji lebih jauh lagi. Mati ini sebagai satu rahsia Allah SWT. Tiada seorang pun daripada kita yang mengetahui bila masa ajal akan menjemput kita. Berbeza dengan para Nabi yang disampaikan oleh Jibril kepada mereka tentang maut dengan izin Allah SWT. Ayat sebelumnya, Nabi Sulaiman AS dikurniakan dengan pelbagai nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Sekalipun dilimpahi dengan pelbagai nikmat kekayaan dunia, namun Nabi Sulaiman AS tetap bersedia dan memilih mati untuk ke negeri abadi.

Mati bukanlah satu penamat. Bahkan mati merupakan perpindahan daripada alam dunia ke alam akhirat. Segala apa yang kita lakukan di dunia, menjadi bekal kita di akhirat. Sekiranya segala nikmat dan kekuasaan yang diberikan oleh Allah SWT dan kita gunakan demi kemaksiatan. Maka, apabila tibanya Malaikat maut di hadapan kita, pasti kita akan menafikan kehadirannya. Tetapi apabila kita melihat Nabi Sulaiman AS memilih mati sedangkan banyak lagi nikmat kurnia yang boleh dinikmati oleh Baginda. Maknanya, segala apa yang ditundukkan oleh Allah SWT kepada Nabi Sulaiman AS, Baginda tidak meletaknya di dalam hati. Nabi Sulaiman AS yang menundukkan Jin, angin bahkan mampu melembutkan tembaga-tembaga ini dengan izin Allah SWT, digunakan untuk melebar luaskan agama Allah SWT.

Ibrah kedua yang boleh kita belajar merujuk kepada ayat sebelumnya apabila Allah SWT menundukkan benda-benda ghaib kepada Nabi Sulaiman AS. Angin dan jin adalah tentera-tentera dan pekerja Nabi Sulaiman AS yang ghaib, yang tak mampu kita lihat. Ini mengajarkan kepada kita, perkara-perkara yang kita tidak nampak dek mata kasar kita, ianya ada dan kita wajib percaya.

Surah ini turun kepada Rasulullah SAW ketika musyrikin Quraisy bukan sahaja tidak mahu mendengar kata-kata Rasulullah SAW serta berlalu pergi, bahkan lebih teruk lagi, mereka mengejek-ngejek apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW mengenai perkara-perkara ghaib. Surah ini digambarkan sebagai satu oksigen buat Rasulullah SAW. Lalu surah ini nak mengajarkan kaum Quraisy betapa kisah-kisah alam ghaib ini wujud melalui cerita Nabi Sulaiman AS.

Ibrah kita yang ketiga menerusi ayat kewafatan Nabi Sulaiman AS ini, bukan sengaja Allah SWT bawakan kisah anai-anai dalam peristiwa ini. Allah SWT nak mengajar kita, ania-anainini kecil sahaja ukuran saiznya. Namun, mereka tetap punya peranan dan jangan sekali-kali kita merendahkan peranan mereka. Anai-anai yang kecil ini boleh memakan benda yang penting yang ada pada Nabi Sulaiman AS iaity tongkat tempat Baginda bersandar, sedangkan makhluk-makhluk lain, ingin menyentuhnya sahaja berasa takut.

Makhluk kecil, anai-anai ini yang menjadi asbab kepada kematian Nabi Sulaiman AS mengajar kita agar kita menundukkan ego kita, biar sebesar mana darjat dan pangkat kita, pasti di penghujungnya kita akan menemui kematian. Mati adalah janji Allah SWT yang pasti buat hamba-hamba-Nya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 November 2016
WhatsApp
Scroll to Top