INSTITUSI keluarga terdiri daripada bapa, ibu, anak-anak dan saudara mara. Setiap unit mempunyai peranan yang jelas dan tersendiri. Walaupun institusi keluarga merupakan agen soSial yang terkecil dalam sesebuah masyarakat, namun keluarga memainkan peranan yang amat besar dalam melahirkan insan yang cemerlang .Ibu bapa terutamanya mempunyai tanggungjawab yang cukup besar kerana anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih dan ibu bapalah yang perlu mencorakkanya .
Dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada minggu lalu, hari Isnin jam 10.15 pagi di radio IKIMfm, Ustaz Muhammad bin Abdullah Al-Amin berkata keluarga merupakan gedung bagi merebut pahala. Ganjaran atau pahala sesungguhnya dianugerahkan oleh Allah SWT kepada suami yang membantu isterinya .Begitu juga apabila isteri turut memainkan peranan dalam membantu suaminya yang memerlukan pertolongan. Malah, dalam institusi keluarga itu sendiri anak-anak dan menantu yang sentiasa memastikan kemakmuran rumah tangga juga tidak ketinggalan meraih pahala yang diberikan. Walaubagaimanapun, hidup ini tidak selalunya indah. Setiap individu tidak dapat lari daripada masalah yang kecil mahupun masalah besar. Tidak terkecuali individu yang telah berkeluarga. Pelbagai cabaran dan dugaan perlu dihadapi yang kadangkala mengakibatkan krisis dalam rumahtangga. Ini disebabkan syaitan telah berjanji untuk menyesatkan manusia akan memperdaya hati serta fikiran seseorang umpamanya dengan cara memporak- perandakan rumah tangga bahagia yang dibina selama ini. Seperti mana yang kita ketahui institusi keluarga adalah merupakan asas sebuah masyarakat dan memainkan peranan yang penting bagi melahirkan generasi yang bertaqwa dan beramal soleh. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kejayaan dan keharmonian dalam sesebuah keluarga adalah bermula dari ketua keluarga. Maka ketua keluarga atau bapa mempunyai peranan yang besar bagi memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T bagi memastikan keluarganya berada dalam keadaan aman dan sentiasa melaksanakan perintah yang disyariatkan oleh Allah S.W.T.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap pimpinannya, seorang pemimpin Negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin dan ia bertanggungjawab terhadap rumahtangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya” . Selain ibu bapa, setiap anak perlu memikul tanggungjawab untuk membahagiakan keluarga dengan bersahsiah mulia dan berbudi bahasa. Ini kerana tingkah laku anak yang sopan dapat menenangkan ibu bapa mereka. Ibu bapa mudah berkecil hati jika kita mengeluarkan kata-kata yang kasar terhadapnya. Oleh itu jagalah lidah jangan sampai terlanjur berkata kasar terhadapnya. Berlemah lembutlah terhadap mereka, walaupun kita tidak bersetuju dengan sikap mereka.
Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan sebagai anak yatim tetapi Allah SWT telah menjadikan anak kecil ini sebagai tempat mencurah kasih sayang. Kelahiran Baginda pada tanggal 12 Rabiulawal Tahun Gajah di kota Mekah Al-Mukarramah sebagai pembuka rahmat di seluruh pelosok alam semesta. Kelahiran Baginda SAW merupakan peristiwa utama dalam sejarah Islam. Baginda memiliki kelebihan luar biasa , bukan sahaja dilihat dalam konteks sebelum kelahirannya tetapi juga dlam konteks semasa dan selepas dilahirkan. Perkara ini dapat dibuktikan dengan keprihatinan dan dan kasih sayang Baginda yang tidak berbelah bahagi terhadap insan-insan yang telah menatang minyak yang penuh sejak Baginda kecil lagi. Nama-nama seperti Aminah, Halimatus Saadiah, Abdullah serta Abu Talib cukup dekat di hati Nabi Muhammad SAW kerana mereka inilah yang banyak berjasa dan berkorban dalam mengasuh dan memberikan didikan yang sempurna sewaktu hayat Baginda SAW. Selain itu, Baginda SAW cukup terkenal dalam memberikan layanan yang baik terhadap ibu dan bapa mertua kepada anak Baginda sendiri Melihat kepada senario tersebut, kita sebagai umat Islam perlu meneladani sifat Rasulullah SAW yang tidak pernah sesekali meminggirkan insan yang bergelar ibu dan ayah yang telah membesarkan Baginda serta mereka yang memelihara anak-anak Baginda .
Menerusi perbincangan bertajuk “ Memahami Keluarga Besar”, Ustaz Muhammad turut turut menggariskan peranan yang perlu difahami oleh para ibu bapa apabila berhadapan dengan anak-anak. Dalam konteks rumah tangga, seperti yang kita sedia maklum kesejahteraan rumah tangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mertua. Bagaimanapun Ustaz Muhammad turut menyentuh mengenai sikap ibu dan ayah mertua yang ada kalanya tidak bersikap adil terhadap menantu mereka. Oleh itu, ibu bapa mertua haruslah menunjukkan kasih sayang yang adil dan jangan mengabaikan hak menantu hingga mengguriskan perasaan mereka.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 November 2016