Pentingnya Sekufu Dalam Rumahtangga

RAMAI yang menyebut tentang jodoh. Adakah ianya perlu yang sekufu? Adakah sekufu penting dalam perkahwinan yang terjalin? Jawapannya ada pada diri sendiri. Sekufu itu ternyata perlu dalam membina  sesebuah hubungan.

Oleh kerana itu, setiap calon suami atau isteri sebelum membuat persetujuan untuk berkahwin sepatutnya memikirkan pelbagai aspek jasmani dan rohani untuk kepentingan semua pihak. Dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada minggu lalu, Ustaz  Muhammad Abdullah Al-Amin berkata kesesuaian bukan sahaja dinilai dari aspek kedudukan, harta kekayaan dan pendidikan akan tetapi kesamaan atau sefahaman dalam agama turut diambil kira di dalam Islam.

Hakikatnya sekufu ini memainkan peranan yang besar dalam hubungan suami isteri. Dalam perkahwinan, ada pasangan yang memilki persamaan antara satu sama lain misalnya dari segi cara berfikir dan hobi. Bagaiamanapun, wujud  juga pasangan yang memiliki perbezaan dalam beberapa perkara yang dilakukan. Misalnya si isteri sentiasa rajin menghias dan mengemas rumah manakala suami pula tidak  menunjukkan minat sedemikian .

Dalam hal ini, ia menuntut pasangan berkenaan untuk sentiasa berlapang dada dengan kekurangan dan kelebihan. Selain itu, pasangan yang mendapati diri mereka tidak memiliki persamaan juga diingatkan agar mempunyai sifat belas ihsan dan baik hati terhadap pasangan. Sesungguhnya, sifat ihsan memandu kehidupan manusia. Betapa indahnya apabila kita berjaya menerapkan sifat ihsan di dalam jiwa kita. Yakinlah.. apabila kita berupaya menyemai hakikat ihsan tersebut, pastinya jiwa kita akan lebih tenteram kerana kita meyakini bahawa segala peristiwa suka dan duka yang berlaku ke atas diri kita merupakan suatu percaturan dan ketentuan Allah SWT. Ia pasti memiliki hikmah tersendiri. Lantaran itu, marilah kita bersama-sama berusaha menyuburkan sifat ihsan dalam kehidupan.

Tujuan perkahwinan itu ialah mendapat ketenangan, kesukaan, keamanan, kasih sayang dan belas kasihan. Ketika membincangkan tajuk  ‘ Sama dan Tak Sama’, Ustaz Muhammad turut menegaskan bahawa apabila pasangan suami dan isteri telah masuk ke fasa perkahwinan, amat penting mereka memahami secara lebih dekat melalui perkahwinan seseorang itu akan menikmati sakinah, mawadah dan rahmah iaitu ketenangan, cinta mencintai dan belas kasihan yang menjadi intipati kepada perkahwinan bahagia.

Namun begitu, ia tidaklah datang sendiri sebaliknya perlu dipelajari dan dipupuk bagi mencapai kebahagiaan hakiki. Memang ramai pasangan suami isteri, meskipun yang sudah lama mendirikan rumah tangga masih tidak mengenali pasangan mereka dengan mendalam. MIsalnya ini termasuk tidak faham akan kehendak fizikal dan  emosi pasangan sendiri. Malah, mereka hanya mengenali sekadar luaran semata-mata. Kesan daripada perlakuan tersebut  akan menimbulkan  jurang sesama mereka. Komunikasi menjadi semakin hambar dan adakalanya terpaksa berpisah atau membawa haluan masing-masing.

Oleh itu, mengenali pasangan dengan mendalam adalah satu kemestian jika ingin sentiasa berada dekat di hatinya. Memahami kehendak dan keinginan pasangan adalah lebih penting daripada kehendak sendiri. Sudah menjadi lumrah kehidupan ,  tidak semuanya indah. Apabila sesuatu yang kita usahakan dan impikan selama ini kadangakala mendatangkan musibah  buat kita. Tidak dinafikan saat-saat kita mengecapi kebahagiaan bersama pasangan terdapat juga individu lain yang  berusaha memporak-perandakan rumahtangga dengan  melakukan amalan sihir. Amalan tersebut mampu merubah sesuatu keadaan tertentu secara serta merta seperti rasa kasih sayang  kepada kemarahan dan kebencian .

Bagi mengelakkan situasi sedemikian berlaku, kita diingatkan agar mengambil langkah berwaspada iatu sebaik-baiknya tidak menceritakan secara berlebihan tentang  segala nikmat yakni harta benda atau pangkat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Ini disebabkan ia boleh  memberi kesan kepada sesetengah individu khususnya yang memilki perasaan hasad dengki dan iri hati apabila mengetahui kelebihan tersebut.

Selain daripada berikhtiar untuk berubat pasangan kita akibat terkena amalan sihir, disarankan  juga  agar  mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amalan seperti membaca kitab Al-Quran, mengerjakan solat sunat, berdoa dan berwirid serta menghadiri sesi kuliah agama di masjid ataupun surau.  Perkahwinan merupakan ikatan perjanjian dua orang insan untuk berkongsi segalanya dalam menempuh kehidupan berumah tangga, yang mengharapkannya kekal sepanjang hayat. Lantaran itu, sebaiknya kedua-duanya  perlu setaraf dalam banyak hal supaya rumah tangga yang akan diharungi lebih mudah dilayari.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 31 Oktober 2016
WhatsApp
Scroll to Top