Setia Dengan Kebenaran

MENYEBARKAN kebenaran mungkin sesuatu yang mudah. Namun, untuk terus kekal setia pada kebenaran itu adalah perkara yang sangat sukar. Sekiranya matlamat dan tujuan kita demi meraih penghargaan manusia, maka semangat  kita pasti goyah. Sebaliknya, sekiranya Allah SWT menjadi tujuan dan matlamat kita, nescaya kita akan tetap setia dengan kebenaran.

Menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm pada hari Isnin minggu lalu jam 5.00 petang, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman memulakan pertemuan dengan berkongsi bersama pendengar ayat-ayat suci Al-Quran daripada surah Al-Syu’araa’. Ustaz membacakan ayat 224 – 226 yang bermaksud : Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat – tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?

Sebagai seorang  pendakwah, sedaya upaya jangan begitu mengambil kira tentang adakah apa yang kita sampaikan ini didengari atau sebaliknya. Bila kita meniliti sejarah, apabila para anbiya’ terdahulu menyampaikan ayat-ayat Allah SWT, pasti sukar buat mereka mendapatkan pengaruh. Ramai tidak berminat sekiranya kita membuka mulut untuk menyampaikan sesuatu berkaitam agama.

Dalam hal ini, mari kita hayati satu surah yang memberi motivasi kepada Rasulullah SAW supaya kita dapat memberi perhatian lebih kepada apa yang bakal kita sampaikan dan bukannya berapa orang yang mahu mendengar dan mengikutinya. Jangan terlalu bercita-cita mahukan pengaruh yang besar kerana para anbiya’ terdahulu, mereka setia dengan kebenaran iaitu ayat-ayat Allah SWT tanpa mempedulikan ada atau tidak yang mahu mendengarnya.

Terkadang kita cepat berasa hati sekiranya ramai di antara pendengar dan penerima mesej kita memberikan respon negatif atas apa yang kita sampaikan. Sebagai pendakwah, kita tidak perlu bimbang akan penerimaan manusia sebaliknya kita perlu risaukan bagaimana penerimaan Allah SWT terhadap kerja yang kita lakukan. Kita ambil motivasi daripada surah ini bagaimana Allah SWT menceritakan para nabi ini berseorangan dalam menyebarkan dakwah mereka tanpa sokongan dan pujian, namun mereka tetap setia dengan kebenaran.

Kita hayati kisah Nabi Musa AS yang dirakamkan di dalam surah ini ketika Nabi Musa AS diserang oleh Firaun dan waktu itu Baginda mengadap ke laut merah. Sekalipun pada waktu itu, Nabi Musa AS ditegur oleh sahabatnya ke mana lagi mahu pergi menyelamatkan diri sedang Firaun mengejar mereka. Maka, Nabi Musa AS masih setia dengan kebenaran dan berkata “Jangan bimbang, Allah SWT beri petunjuk”. Sekalipun musuh telah mengepung dan tiada tempat untuk melarikan diri, para anbiya’ tetap masih bersama dengan kebenaran.

Kemudian, sama-sama kita hayati kisah Nabi Ibrahim AS yang turut dirakamkan di dalam surah ini. Ketika Baginda masih remaja, Allah SWT rakamkan ucapan panjang Nabi Ibrahim AS dengan maksud Baginda masih meneruskan ucapan sekalipun Baginda dicerca oleh kaumnya. Ini membuktikan bahawa para anbiya’ masih terus setia dengan kebenaran sekalipun tidak mendapat perhatian dan sokongan daripada kaumnya.

Kesimpulannya, mari kita hayati kisah para nabi Allah SWT bermula dengan kisah Nabi Musa AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Nuh AS, Nabi Hud AS, Nabi Salleh AS, Nabi Luth AS dan Nabi Syuib AS yang diceritakan oleh Allah SWT menerusi surah al-Syu’araa’ yang mana datang dari sejarah dan kisah yang berbeza, namun mereka tetap sama iaitu konsisten dengan kebenaran. Sekalipun lama kisah perjuangan mereka, namun mereka tetap setia dengan mesej yang sama : “Tolonglah takut dengan Allah SWT dan tolonglah taat kepadaku pesuruh Allah SWT. Aku tidak meminta apa-apa bayaran daripada kalian dan aku dibayar hanya oleh Allah SWT. Ini ucapan Nabi Nuh AS yang Allah simpulkan mewakili perjuangannya selama 950 tahun.

Semoga mesej perjuangan dan dakwah kita jelas dan tetap sama sekalipun ujian datang menjengah kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 Oktober 2016
WhatsApp
Scroll to Top