Jadikan Hijrah Nabi Muhammad SAW Sebagai Teladan

PANTAS sungguh masa berlalu, pejam celik pejam celik, sudah setahun berlalu dan pada tanggal 2 Oktober yang lalu kita mula melangkah ke tahun baru 1438 Hijriah bersamaan 2016 Masihi, Pepatah Arab menyebut, masa adalah ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita. Ini untuk menggambarkan bahawa masa itu sesuatu yang amat penting dan amat berharga.

Ketika mengupas tajuk “Tahun Baru 1438 Hijriah\” dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada Isnin lalu, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin menyingkap sejenak salah satu ayat yang diturunkan oleh Allah SWT menerangkan tentang tuntutan kita sebagai umat Islam melakukan perubahan dalam diri. Dalam ayat tersebut Allah SWT berfirman “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Al-Ra’d, ayat 11) . Ingatlah bahawa Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Allah SWT  memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha. Jika kita mendambakan perubahan,  mulailah dari dalam diri masing-masing. Kerana sudah menjadi sunnatullah bahawa Allah tidak akan merubah apapun selama tidak ada perubahan dari dalam diri kita. Setiap kali menjelang Maal hijrah, kita sering memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana kedatangannya telah membawa begitu banyak perubahan kepada diri kita. Namun, persoalan besar yang timbul ialah apakah sebenarnya yang ingin kita hijrahkan dalam hidup ini? Menurut Muhammad, hijrah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW adalah  bagi memperbetulkan lima perkara. Pertama, Baginda SAW memberi tumpuan dalam memantapkan sistem kepercayaan. Di dalam dua kalimah syahadah itu terkandunglah kepercayaan kepada ketuhanan yang sebenar dan kepercayaan kepada Rasul.

Sesungguhnya istilah ‘Illah merupakan 99 nama Allah dalam rantaian Asmaul Husna. Menerusi sistem kepercayaan ini, ia sekaligus mengajak kita untuk meyakini bahawa dalam kehidupan ini, tiada yang memberi rezeki melainkan Allah, tiada yang membela melainkan Allah, tiada yang mengamankan melainkan Allah, tiada yang memberi keselamatan melainkan Allah serta tiada segala-gala melainkan Allah. Seterusnya, hijrah yang dilakukan oleh Baginda SAW adalah bertujuan agar manusia mampu memperbetulkan cara melihat kehidupan. Sebagai khalifah di muka bumi ini, kita harus  sedar bahawa sehebat  mana pun kita  di dunia ini, pasti suatu hari nanti kita akan kembali  menghadap Allah Yang Maha Esa.  Untuk itu, sentiasalah kita merebut ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT. Mengerjakan solat umpamanya merupakan tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah SWT atas segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada kita. Selain itu, Nabi Muhammad SAW menyifatkan amalan berhijrah sebagai satu platform untuk kita melihat bagaimana untuk memperbetulkan diri. Hanya dengan  meningkatkan ilmu pengetahuan, kita mampu menilai siapa diri kita. Ilmu boleh diumpamakan pelita yang menerangi kegelapan hidup manusia. Sekaligus ia  menjadi petunjuk jalan  memperolehi kehidupan yang bahagia.  Selain itu,  di saat-saat kita ingin melakukan transformasi atau penghijrahan diri, Islam menganjurkan umatnya apabila sudah berasa hebat, janganlah sesekali bersifat sombong .

Ada manusia yang bekerja keras untuk menjadi kaya dan mencari harta yang banyak. Islam tidak melarang kita mencari kesenangan di dunia, walaupun dalam masa sama diperingatkan bahawa setiap kita pasti akan menemui kematian. Oleh sebab itulah, amalan hijrah yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW turut mendorong kita untuk menilai sejauh mana dunia ini sebagai ladang akhirat. Maksudnya, sepanjang berada di dunia, bekerja dan berbuat baiklah menyediakan bekalan yang bakal dibawa ke akhirat. Ini kerana apabila tiba di akhirat nanti, setiap individu Muslim  itu dipertanggungjawabkan atas apa yang telah dilakukannya semasa berada di dunia.

Akhir sekali, dengan berhijrah juga ia mengajar kita dalam menilai manusia di sekeliling. Haji dan hijrah misalnya, sama-sama memiliki nilai penyatuan umat Islam yang signifikan kepada seluruh dunia. Ibadah haji memupuk rasa kebersamaan sesama makmum. Mereka berpakaian ihram yang sama, tanpa membezakan warna kulit, bahasa, kebangsaan, tanah kelahiran dan kedudukan sosial.

Kesimpulannya, hijrah yang diamalkan oleh Baginda SAW adalah bagi  memperbetulkan lima perkara dan ia merupakan intipati kepada Rukun Islam. Semoga dengan tahun baru 1438 Hijriah kali ini, kita dapat membina kekuatan ilmu, jiwa dan iman, seterusnya berjaya melahirkan amal dan tindakan yang menjadi pemangkin kepada perubahan ke arah suatu yang lebih baik terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara umat Islam. Insyaallah…

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 Oktober 2016
\"2016-10-10\"
WhatsApp
Scroll to Top