Berlapang Dada

DALAM rancangan slot Tarbiyah yang bersiaran Jumaat jam 10.15 pagi di radio IKIMfm, Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A.Harris, pensyarah CASIS UTM membawakan tajuk  “Bagaimana Sepatutnya Memahami Islam”. Salah faham terhadap Islam ini, ujar beliau bukan menimpa orang bukan Islam sahaja, bahkan dari umat Islam sendiri. Akibat salahfaham itu, orang bukan Islam khususnya Barat menggelarkan umat Islam dengan terrorisma dan radikal. Umat Islam sendiri pula disebabkan salahfaham terhadap Islam telah gagal mempamerkan Islam yang sebenar sehingga Islam tidak lagi dilihat indah dan cantik. Umat Islam itu adalah cerminan kepada Islam itu sendiri.

Dalam masyarakat Islam hari ini ada dua bentuk kecelaruan pemahaman terhadap ajaran Islam. Pertama dari kelompok literalis yang jumud, radikal dan konservatif.  Mereka terikat dengan tafsiran ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadith secara literal sehingga menyempitkan ajaran Islam yan sebenar. Kelompok kedua pula ialah daripada kalangan liberal, yang bebas dan tidak terikat kepada sebarang teks.

Dalam satu hadith daripada Ibrahim bin Abdul Rahman al-Udri RA bahawa Baginda SAW bersabda yang mafhumnya “agama ini akan dipikul oleh mereka yang benar dari setiap generasi, dan mereka akan menyelamatkan agama ini daripada penyelewengan dan melampau musuh Islam, dakwaan palsu para pembohong dan tafsiran palsu mereka yang jahil” (Bayhaqi). Dan kerana itu, kita dapati alam nusantara Melayu ini sejak daripada awal kedatangan Islam lagi dari generasi ke generasi sudah mengikut manhaj Asha’irah dari segi aqidah, Shafiiyah dari segi fekah dan Ghazali dari segi tasawuf hinggalah ke hari ini. Pada setiap zaman, akan berlaku penyelewengan yang dibawa oleh kelompok-kelompok tertentu tetapi majoriti para ulama pada zaman itu akan tetap teguh dibawa manhaj yang benar selama-lamanya. Di zaman Imam al-Ghazali RA (w.505/1111), beliau berhadapan dengan kelompok Hasyawiyah yang menolak sains Yunani, namun Imam al-Ghazali RA menjelaskan bahawa tiada salah dengan ilmu sains tersebut jika ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Hari ini umat Islam berhadapan dengan kelompok IS atau Daesh yang kononnya mendakwa mereka memperjuangkan Islam dan ingin menubuhkan Khalifah Islam tetapi majoriti ulama menolak kumpulan ini dan mengisytiharkan mereka sesat bahkan ada yang mengatakan mereka ini murtad.

Hari ini ada kecenderungan di kalangan masyarakat kita berslogan menyeru kepada mengikut  al-Qur’an dan al-Sunnah. Tetap ulama sejak zaman berzaman mereka bukan sahaja mengikut al-Qur’an dan al-Sunnah sahaja, mereka juga menguasai pelbagai ilmu-ilmu lain bagi memahami al-Qur’an dan al-Sunnah. Tidak semua yang tiada dalam al-Qur’an dan al-Sunnah itu salah, atau apa tidak diperlakukan oleh Baginda SAW ketika hayatnya SAW maka kita tidak boleh lakukan pada hari ini. Hanya apa yang dilarang sahaja yang tidak dibenarkan dan apa yang menyalahi nas-nas usul dan syariat dalam ajaran Islam sahaja dilarang. Di sini memerlukan kebijaksanaan untuk memahami apa yang haram dan apa dibenarkan sesuai dengan Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr yang mafhumnua berbunyi “apa sahaja yang dibawakan oleh Rasul itu maka terimalah, dan apa yang dilarangnya itu tinggalkan”.

Ada kelompok dalam masyarakat kita hari ini yang salahfaham terhadap perkara ini seolah semua yang tidak diperbuat oleh Baginda SAW itu tidak boleh dan haram dibuat. Lalu muncullah kelompok yang membidaahkan dan menyesatkan amalan orang lain, dalam hal-hal khilafiyah sehingga mewujudkan keresahan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Para ulama telah membawakan kaedah yang terkenal dalam berhadapan dengan perkara-perkara perselisihan pendapat (khilafiyah) di kalangan para ulama ini yang berbunyi,  “tidak ditentang perkara yang diperselisihkan (para ulama), namun ditentang adalah perkara yang disepakati”. Dalam hal-hal sebegini, tindakan berlapang dada ialah tidak menuduh bidaah dan sesat terhadap amalan-amalan yang diperselisihkan para ulama, sebaliknya jika kita di pihak yang memilih bersama pandangan yang tidak menyetujui sesuatu amalan tersebut, memadai kita sahaja yang tidak melakukannya tanpa perlu melarang orang lain daripada melakukannya. Adapun dalam hal-hal yang jelas disepakati para ulama bahawa ia perbuatan keji dan munkar, maka hendaklah kita sama-sama sepakat bangun menentangnya sesuai dengan perintah “amr ma’ruf wa nahy anil munkar”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 September 2016
WhatsApp
Scroll to Top