7 Kualiti Manusia

DI hari kiamat kelak manusia akan dihimpun dan dipertanggungjawabkan dengan setiap yang dilakukan selama di dunia. Saat kondisi matahari terlalu hampir dengan ubun-ubun pastinya memeritkan untuk sampai giliran penghisaban.

Ketika padatnya Padang Mahsyar dengan kaki tanpa beralas di tambah suhu yang merimaskan, tiba-tiba wujud kelompok hambaNya yang tenang berekat di bawah naungan. Siapakah golongan tersebut? Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari sahabat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT  pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Pemimpin yang adil, Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid, Dua orang yang saling mencintai kerana Allah; berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, Seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata; ‘Aku takut kepada Allah’, Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.” (HR Bukhari)

Usrah Nurani Jumaat lepas membincangkan kepentingan kelompok ini dalam masyarakat hari ini. Dalam kalut melengkapi hidup, dunia dan akhirat perlu bertaut dalam membetul letak duduk matlamat. Umpama peninju tersohor; Muhammad Ali yang perlu kepada jurulatih walau sudah masyhur beribu kejayaan yang pernah diraih. Tujuannya supaya ada yang lihat dan atur setiap silap menjadi betul serta dapat mencatur perkiraan yang tepat yang berkemungkinan Muhammad Ali sendiri tidak dapat melihat. Justeru, naqib usrah; Ustaz Zul Ramli M. Razali membawa semua rakan usrah termasuk rakan usrah di konti; Puan Hajah Mazita Ahmad dan Ustaz Rosdi Hj. Long untuk memahami motivasi yang telah di gariskan oleh Allah SWT sebagai kayu ukur dalam meletakkan kualiti dalam diri seseorang.

Golongan pertama adalah pemimpin yang adil. Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah di atas mimbar yang terbuat dari cahaya, di sebelah kanan Ar-Rahman sedangkan kedua tangan Allah adalah kanan semua-. Yaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka.” (HR. Muslim). Setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan oleh Allah kelak atas setiap yang di pimpinnya. Untuk itu, spemimpin perlu bertindak adil sehingga semua orang yang dipimpinya boleh merasakan perkhidmatan yang maksimum dan tidak timbul sebarang persoalan atas pimpinannya.

Seterusnya adalah pemuda yang membesar dalam ketaatan dan kebiasaan melaksanakan ibadah. Pemuda dalam ketegori ini sangat bijak mengatur nafsunya daripada terjerumus dalam kemaksiatan.

Selain itu, naungan arasy Allah ini juga di tawarkan kepada pemuda yang hatinya terikat dengan masjid. Pemuda yang tidak akan terlepas setiap peluang untuk memakmurkan masjid dengan ibadah dan amal-amal soleh secara istiqamah, terutama solat fardhu berjemaah. Hatinya selalu ‘risau dan resah’ apabila jauh dari masjid, dan berasa sedih tatkala tidak mampu mendatangi masjid di waktu-waktu solat berjemaah dan ketika majlis diadakan.

Keindahan dua orang yang saling mencintai kerana Allah; berkumpul dan berpisah kerana Allah juga dijanjikan naungan tersebut di hati kiamat. Di samping itu, pada lelaki yang diajak berzina oleh seorang perempuan kaya dan cantik tetapi dia menolaknya dan menegaskan bahawa, “Aku takut pada Allah” juga tidak terkecuali mendapat naungan Allah ini.

Bagi seseorang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi sehingga dinisbahkan tangan kirinya tidak tahu akan pemberian tangan kanannya. Sesungguhnya, keikhlasan adalah salah satu syarat amal kebajikan diterima oleh Allah SWT. Keikhlasan sememangnya sukar,  oleh yang demikian hanya yang benar-benar ikhlas sahaja tidak mampu dipesongkan niatnya oleh syaitan.

Akhir sekali adalah golongan yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sendirian hingga kedua matanya basah akibat menangis. Amalan ini yang sangat berat dan tidak akan dirasakan kecuali oleh orang yang mempunyai keteguhan iman dan benar-benar takut kepada Allah ketika dia sendiri maupun ketika dia bersama orang lain. Dan tangisan yang lahir dari kedua sifat ini merupakan tangisan karena takut kepada Allah Ta’ala.

Selaku hamba yang masih dipinjamkan nyawa di dunia ini. Semoga dihidayahkan dengan kebijaksanaan untuk mengambil kata-kata Rasulullah SAW ini sebagai ikhtibar dan hikmah dalam mengejar redha Allah sehingga mampu tergolong dalam salah satu daripada 7 golongan yang mendapat naungan Allah SWT di Hari Qiamat kelak, kerana hanya dengan naungan Allah itu sahaja yang mampu selamatkan diri daripada kepedihan hari pembalasan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Mei 2016
\"2016-05-13\"
WhatsApp
Scroll to Top