KUALA LUMPUR, 19 Jan (IKIM) – Seramai 500 murid berkeperluan khas dari 25 sekolah menengah sekitar Wilayah Persekutuan menerima sumbangan berjumlah RM100,000 menerusi dana wakalah Sun Life Malaysia Takaful Berhad, sebagai manifestasi komitmen korporat terhadap kebajikan dan pendidikan golongan kurang bernasib baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja melengkapi usaha kerajaan, malah memperkukuh kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam membentuk sistem pendidikan yang lebih inklusif, khususnya kepada pelajar orang kurang upaya (OKU).

Beliau menegaskan, tiada mana-mana kelompok masyarakat wajar dipinggirkan daripada akses kepada pendidikan berkualiti, termasuk pelajar OKU yang sering berdepan cabaran unik dalam proses pembelajaran. Justeru katanya, pembelaan serta sokongan berterusan terhadap golongan berkenaan merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.
“Golongan ini memerlukan perhatian khusus dan sokongan berterusan agar mereka turut berpeluang membina masa depan yang lebih baik menerusi pendidikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih Bersama Sun Life Malaysia Takaful Berhad di Auditorium Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama JPWPKL.
Turut hadir Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya serta Pengarah Pendidikan JPWPKL, Megat Affandi Ismail.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata menerusi Belanjawan MADANI 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion khusus bagi memperkasa kebajikan golongan OKU, termasuk sokongan terhadap pendidikan dan latihan kemahiran.
Menurutnya, Kolej Komuniti turut menyediakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat bagi komuniti rentan seperti OKU, selain kerajaan terus menyalurkan peruntukan ratusan juta ringgit dalam bentuk elaun bulanan kepada pelajar OKU bagi menyokong keperluan pembelajaran, intervensi khas dan kebajikan mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Takaful Berhad, Noor Azam Mohd Yusof, berkata pembangunan pendidikan merupakan asas penting dalam pembinaan negara yang mampan dan sejahtera.
Beliau berkata, agihan wakalah zakat berjumlah RM100,000 itu bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya mencerminkan nilai teras takaful yang menekankan semangat saling membantu serta perlindungan bersama demi kesejahteraan komuniti.
“Seperti zakat, takaful berperanan mewujudkan jaringan perlindungan untuk masyarakat. Melalui kerjasama dengan PPZ-MAIWP, kami bukan sahaja menyediakan perlindungan, malah membantu membina masa depan yang lebih berdaya tahan untuk semua,” katanya.
Pada majlis sama, sebanyak 26 surau sekolah menengah di Wilayah Persekutuan, termasuk sebuah surau milik JPWPKL, turut menerima sumbangan kewangan berjumlah keseluruhan RM80,000 menerusi dana wakalah MAIWP bagi meningkatkan keselesaan serta kemudahan buat pendidik dan pelajar sekolah.




