5 AGENDA MEMACU AGENSI AGAMA BAGI TAHUN 2025

PUTRAJAYA, 23 Januari (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meletakkan lima agenda utama dalam memacu agensi-agensi di bawahnya agar terus berperanan menyuburkan Islam di Malaysia. 

Menterinya, Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata bagi tahun 2025 gerak kerja agensi-agensi agama turut mengangkat tema “Islam Mekar di Bumi Malaysia”.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini. 

“Harapan saya agar ketua agensi dan seluruh warga agensi akan dapat memastikan semua harapan dan hasrat kita bersama untuk memastikan tema ‘Islam Mekar di Bumi Malaysia’ dan hala tuju telah digariskan dapat dijayakan dalam memastikan syiar Islam di Malaysia akan terus mekar,” ujar beliau. 

5 agenda yang digariskan antaranya mengkangkat pembangunan al-Quran dan Hadis; meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam; memperkukuh aplikasi teknologi dalam tadbir urus Islam; melestari kesejahteraan sosial ummah; serta memperkasa perpaduan ummah dan keharmonian tamadun. 

Selain itu, Mohd Na’im dalam ucapannya mengajak semua agar sama-sama menjayakan gagasan Kalimah Toyyibah yang diperkenalkan beliau tahun lalu bagi mendidik masyarakat supaya menjaga lisan dan mengungkapkan kata- kata yang baik dalam pergaulan dan dalam segala urusan kehidupan. 

“Kita ingin membentuk masyarakat yang berakhlak dan nilai akhlak menerusi perkataan-perkataan yang baik ini merupakan komponen terpenting dalam membangun masyarakat Madani ini,” tambah beliau. 

Sementara itu beliau turut berkongsi antara pencapaian dan kejayaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi tahun 2024 antaranya Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024; Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia; Program Majlis Ulama’ Asia 2024; Program International Conference of Religious Leaders 2024; dan Anugerah Labbaitom Kerajaan Arab Saudi. 

Beliau mengakhiri amanat dengan berpesan kepada semua warga agensi agar bekerja dengan lebih baik dan memainkan peranan penting memberikan kefahaman Islam kepada masyarakat. 

Turut hadir dalam majlis tersebut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddeen Suhaimi dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

Wartawan : Faiz Hj. Othman
Jurugambar : Fathulmungin Mohd. Yusof

WhatsApp
Scroll to Top