28,531 CALON PEROLEH KEPUTUSAN 8A DALAM PEPERIKSAAN UPKK 2023

sumber : Yuran.my

Putrajaya, 18 April (IKIM) – Seramai 28,531 daripada 230,587 calon yang menduduki Ujian penilaian Kelas KAFA (UPKK) berjaya memperoleh keputusan cemerlang (A) bagi keseluruh lapan mata pelajaran peperiksaan itu.

Mata pelajaran tersebut ialah al-Quran; Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah); Sirah; Adab; Jawi dan Khat; Lughatul Quran; Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, pencapaian calon UPKK tahun ini  yang mencatat tahap lulus keseluruhan ialah sebanyak 88 peratus, manakala berlaku peningkatan pada Gred Purata Skor pada tahun ini sebanyak 1.89  peratus berbanding 1.99 bagi UPKK tahun 2022.

“Seramai 18,185 calon dengan peratusan 7.89 peratus  peroleh 7A, 19,606 calon dengan peratusan 8.50 peratus peroleh 6A, 25,697 calon bersamaan 11.14 peratus mendapat 5A.

“ Manakala 4A (28,422 calon), 3A(48,031 calon),2A (28,460 calon) dan 1A (14,542 calon),” katanya pada sidang media pengumuman keputusan UPKK tahun 2023 di sini pada Khamis.

Tambah beliau, seramai 22,302 calon (9.67 peratus) tidak mendapat sebarang gred A dan 14 calon (0.01 peratus) mendapat semua D”.

“Suka saya nyatakan, kemenjadian murid bukan diukur kepada jumlah bilangan A yang diperoleh tetapi melalui amalan dan cara hidup Islam yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan.

“Harapan kami agar semua murid yang mengikuti kelas KAFA ini dapat menjadi tonggak dan permata yang akan menyemarakkan lagi syiar Islam pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, beliau juga turut memaklumkan keputusan UPKK 2023 boleh disemak secara dalam talian di https://semakan.islam.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) UPKK<jarak>No MyKad<jarak>No Angka Giliran dan hantar ke 15888 bermula jam 12 tengah hari ini manakala slip keputusan penuh boleh dapati di sekolah masing-masing esok (19 April) bermula jam 9.30 pagi.

Scroll to Top