25 TAHUN IKIMfm: MEMPERKASA DAKWAH BERKEMAJUAN DAN DINAMIK

KUALA LUMPUR, 16 Jan (IKIM) – Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin kefahaman Islam apabila mengorak langkah meneroka segmen baharu dakwah yang lebih inovatif, segar dan dekat dengan realiti masyarakat semasa, khususnya golongan muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata pelbagai inisiatif bersifat ke hadapan telah diperkenalkan oleh IKIMfm sebagai usaha memenuhi keperluan masyarakat melalui pendekatan dakwah yang lebih menarik dan berkesan.

Beliau berkata, usaha berterusan itu mencerminkan keupayaan IKIMfm memahami perubahan landskap sosial dan keperluan generasi masa kini, sekali gus mempelbagaikan pendekatan dakwah agar kekal relevan dengan cabaran semasa.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-25 IKIMfm dan Kempen Mahabbah MADANI Ramadan 1447H di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; dan Penasihat PNB Merdeka Venture Sdn Bhd Dato’ Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud. 

“IKIMfm memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat selari dengan mandat dan visinya untuk memberikan kefahaman Islam yang sebenar, membina ketamadunan serta mencetuskan gelombang baharu dakwah yang lebih strategik,” kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut menegaskan keperluan IKIMfm untuk terus proaktif dalam menyampaikan mesej Islam yang menekankan nilai rahmah, maqasid syariah, wasatiyyah, serta pendekatan yang berkemajuan, dinamik dan progresif.

“Perancangan dan inisiatif baharu yang diperkenalkan jelas selari dengan hasrat tersebut, namun ia memerlukan sokongan padu semua pihak bagi memperkasa dan memperluaskan gelombang baharu media Islam yang berkesan kepada masyarakat,” tambah beliau.

Sementara itu, IKIMfm turut melakar sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Highest Altitude Islamic Radio Broadcast From A Skyscraper.

Pengiktirafan berkenaan mencerminkan komitmen IKIMfm dalam meneroka pendekatan baharu penyiaran Islam berteraskan kreativiti dan inovasi, seiring perkembangan industri media masa kini.

Pencapaian itu sekali gus menjadi pemangkin kepada IKIMfm untuk terus memperkukuh misi dakwah melalui medium radio dengan pendekatan yang moden, berjiwa masyarakat dan relevan untuk semua lapisan pendengar di seluruh negara.

Dr. Zulkifli sebelum itu turut bersiaran di IKIMfm dalam Siaran Khas 25 jam IKIMfm di Menara Merdeka 118 membicarakan halatuju dan juga perkembangan hal ehwal agama. 

WhatsApp
Scroll to Top