16 PETUGAS HAJI BERLEPAS KE TANAH SUCI

Sepang, 30 April (IKIM) – Seramai kira-kira 16 petugas haji (advance party) Lembaga Tabung Haji (TH) Musim Haji 1445H/2024M berlepas ke tanah suci hari ini sebagai persediaan awal bagi menyantuni jemaah haji dari Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif Haji TH, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, kumpulan advance party yang berangkat pada hari ini adalah bagi memastikan persiapan awal berkaitan infrastruktur teknologi maklumat dan perubatan diselaraskan sebelum ketibaan kumpulan jemaah haji pertama di Madinah.  

“Dengan berlepasnya kumpulan pertama advance party ini kita berharap akan dapat memastikan kemudahan talian komunikasi terbaik kepada jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.”

Syed Saleh berkata penerbangan yang membawa 11 petugas teknologi maklumat, empat perubatan dan seorang kebajikan ini dijangka tiba pada 5:00 petang waktu Arab Saudi.

Beliau berharap para petugas sentiasa kekal sihat dan dapat melaksanakan tugasan dengan sebaik mungkin kerana tugasan ini adalah amanah yang diberikan bermula dari tanah air, sepanjang berada di tanah suci dan sehinggalah kembali semula ke Malaysia.

“Kita sebagai petugas perlu tanamkan dalam diri kita bahawa tugas kita di Tanah Suci adalah tanggungjawab kita untuk melaksanakan amanah dalam menyantuni dhuyufurrahman,” katanya.

Penerbangan pertama Jemaah haji Malaysia adalah pada 9 Mei 2024 dan penerbangan petugas haji advance party kedua pula adalah pada 2 Mei 2024.

WhatsApp
Scroll to Top