Transformasi Kerja Menerusi Revolusi Jiwa

KEJAYAAN, kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup ini adalah sejauhmana kita membawa hati kita kepada Allah SWT. Justeru kebahagiaan ada kaitan dengan bagaimana kita mengurus pekerjaan. Bahkan dalam Islam, pekerjaan adalah perkara yang amat mulia dan dipandang tinggi sehingga Islam meletakkan pekerjaan itu adalah ibadah.

Dalam al-Quran, Allah menyebut tentang pekerjaan sebagai satu amanah yang jika disempurnakan dengan betul, dengan bekerja boleh menjadi asbab untuk membawa mukmin menghuni syurga Allah SWT.

Melalui rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIM hari Rabu jam 10.15 pagi, ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata pekerjaan adalah antara jalan untuk meraih kebahagiaan dalam kehidupan. Dengan pekerjaan juga, seseorang mukmin akan dapat membina kematangan, kecemerlangan bahkan pengalaman kehidupan. Sehingga kajian moden menunjukkan orang tidak bahagia dalam pekerjaan, tidak akan bahagia dalam hidupnya. Ini kerana sebahagian besar kualiti masa dihabiskan ditempat dan di alam pekerjaan.

Begitulah mereka yang mahu mencapai kejayaan atau meraih kecemerlangan, perlu melakukan transformasi dalam hidupnya. Kerana untuk berjaya kita mesti berubah dari zon yang selesa kepada satu zon yang lebih mencabar. dari lingkungan yang mencabar inilah akan mengajar manusia untuk lebih mengenali perkara-perkara yang akhirnya dapat menghasilkan buah-buah kejayaan serta membina nilai dalam kehidupan.

Walaubagaimanapun, tidak dapat tidak seseorang yang mahu berjaya perlu melalui proses penghijrahan kerana perkembangan diri terletak pada zon yang mencabar, bukan zon yang selesa atau statik yang tidak akan memberi apa-apa impak. Justeru, dalam prinsip kejayaan ada aturan yang perlu dituruti kerana aturan-aturan inilah yang akan menyumbang kepada kejayaan. Perubahan adalah aturan yang jika tidak dipatuhi seseorang itu tidak akan berjaya.

Perkara yang paling bijak adalah perlu belajar menyesuaikan diri dengan norma atau pergerakan dalam kehidupan yang ada susunan dan aturannya. Justeru, orang yang mahu berjaya mestilah pantas, bijak dan cergas dalam menyesuaikan diri dengan perubahan dunia selagi ia tidak melanggar hukum syarak dan panduan hidup yang ditetapkan Allah SWT.

Bahkan orang yang menentang perubahan atau tidak pandai untuk sesuaikan diri dengan keadaan akan kalah atau gagal. Makhluk sifatnya berubah, yang tak berubah adalah Allah yang tetap kekal abadi. Begitulah dengan manusia jika tidak mengikut perubahan zaman kita akan ketinggalan. Malahan ramai manusia yang gagal kerana enggan bergerak atau berubah.

Mengambil iktibar mari renungi kisah seorang budak lelaki yang hilang wangnya pada waktu malam yang gelap. Bagaimanapun budak ini mencari wangnya ditempat yang cerah sedangkan wangnya tercicir di kawasan yang gelap. Lalu ada seorang lelaki tua bertanya kepada budak lelaki itu “kenapa mencari wang yang hilang itu di tempat cerah di bawah cahaya?, sedangkan wang itu bukan tercicir di sini?”. Hakikatnya dalam kehidupan ini ramai daripada kita yang berada pada kondisi budak lelaki ini. Kita sedar dan tahu bahawa kejayaan atau kecemerlangan berada di rumah Allah iaitu masjid tetapi kita tetap berkeras tidak melakukan solat di masjid. Kita sedar bangkit di awal pagi boleh mendatangkan rezeki tetapi kita tetap tidak melakukannya.

Sesungguhnya perubahan adalah rukun atau tabiat untuk berjaya. Namun jika kita tidak mahu mengambil cabaran untuk melakukan perubahan-perubahan yang sesuai dengan kehendak semasa atau kejayaan, maka jadilah kita orang yang terus lesu dan lapuk dengan keadaan yang sama. Orang yang berjaya adalah orang yang memaksa dirinya untuk berubah. Manakala orang yang gagal adalah orang yang hanya dipaksa untuk berubah. Sedangkan perubahan itu perlu ada dalam diri sendiri.

Justeru untuk berjaya dalam sesuatu pekerjaan, kita harus membina sudut pandang yang betul, nilai yang tinggi dan sikap yang tepat supaya dengan hal ini kita dapat mencipta kecemerlangan dalam pekerjaan. Transformasi dan revolusi dalam pekerjaan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja asalkan kita membina tujuan dan matlamat yang betul dalam niat kita bekerja. Bekerja bukan sekadar untuk mencari rezeki bagi kelangsungan hidup tetapi dengan pekerjaan kita itulah yang akan membawa kita menjadi manusia yang bukan hanya berjaya di dunia tetapi juga di akhirat.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Ogos 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top