Setulus Doa

PROF. Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail dalam rancangan Tarbiyah yang bersiaran di radio IKIMfm Jumaat lepas jam 10.15 pagi berbicara tentang “Setulus Doa”. Apabila kita teliti ayat al-Qur’an dalam Surah al-Baqarah ayat 183 hingga 187 yang memerintahkan orang-orang beriman itu berpuasa, terselit dalam ayat 186 perintah agar kita berdoa kepada Allah SWT sepertimana mafhumnya yang berbunyi:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

Doa merupakan satu bentuk istighathah atau pertolongan, permintaan, kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa memohon sesuatu hajat. Islam menganjurkan kepada umatnya agar dalam apa juga keadan jangan timbul perasaan kecewa, berputus asa seolah tiada harapan lagi dan gelap masa depan. Itu bukan sikap orang mukmin. Orang mukmin walau dalam apa jua keadaan sekalipun akan tetap ada tempat pergantungan iaitu kepada Allah SWT. Kita hendaklah masih bergantung harapan kepada Allah SWT iaitu melalui doa. Jika apabila berurusan dengan manusia, orang yang meminta-minta akan dimarahi dan tidak disukai, tetapi berbeza dengan Allah SWT apabila Allah SWT amat menyukai dan ianya dikira ibadah di sisi Allah SWT, sebaliknya orang yang tidak meminta doa kepada Allah SWT itu yang akan dimurkai oleh Allah SWT sepertima mafhum Hadith Nabi SAW: “Barangsiapa yang tidak meminta kepada Allah SWT, maka Allah akan memurkainya” (HR: Tirmidhi). Tanda orang yang imannya kukuh ialah dia sentiasa berdoa kepada Allah tanpa ada perasaan berputus asa walaupun doanya nampak seolah belum dimakbulkan oleh Allah SWT lagi.

Kadangkala kita sering memohon kepada Allah namun kita merasakan bahawa hingga kini Allah SWT tidak memakbulkan doa kita. Ini anggapan yang tidak tepat kerana kemungkinan doa kita telah dimakbulkan oleh Allah SWT, tetapi masanya belum tiba lagi kerana Allah SWT sahajalah yang Maha Mengetahui bilakah masa yang paling sesuai dan terbaik untuk kita. Ada juga doa kita yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT kerana Allah SWT Maha Mengetahui bahawa apa yang kita minta itu sesuatu yang tidak sesuai dan akan memudaratkan untuk hidup kita samada dunia atau akhirat, sedangkan di sisi kita, kita menyangka ianya sesuatu yang baik. Ini sepertimana Firman Allah SWT maksudnya: “Dan boleh jadi apa yang kamu benci itu sebenarnya adalah baik bagi kamu, dan boleh jadi apa yang kamu cintai itu, sebenarnya adalah buruk buat kamu. Allah Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”( Surah Al-Baqarah 2:216).

Seperkara lagi, kita kadangkala terlupa untuk bersyukur atas pelbagai nikmat dan anugerah yang kita terima, sedangkan kita tidak pernah pun meminta doa dengan Allah SWT agar memberi apa yang telah diberi oleh Allah SWT yang banyak kepada kita tanpa kita memintanya. Sepatutnya atas pemberian itu, kita kena bersyukur kepada Allah SWT kerana walaupun kita tidak minta, namun Allah berikan itu dan ini kepada kita. Itulah tanda kasih dan sayang Allah SWT kepada kita memberi apa yang bermanfaat kepada kita walaupun kita tidak meminta.

Doa juga merupakan suatu ibadat kepada Allah SWT. Alangkah mudahnya untuk kita mendapat pahala sedangkan apabila meminta dengan manusia kita tidak akan diberi pahala, bahkan sebaliknya mungkin dicemuh. Islam menganjurkan kepada kita untuk banyak berdoa kepada Allah SWT. Ada beberapa keadaan di mana doa seseorang itu mudah dimakbul oleh Allah SWT antaranya ialah doa orang yang bermusafir, doa orang yang dizalimi dan lain-lain. Jika turut dianjurkan untuk bukan sahaja mendoakan bagi diri kita sendiri, atau ibubapa kita, bahkan kepada jiran, sahabat, rakan sekerja dan kepada seluruh umat manusia. Sekiranya kita saling doa mendoakan antara satu sama lain nescaya akan wujud masyarakat yang saling berkasih sayang. Rasulullah SAW dikatakan pernah bersabda mafhumnya: “ada tiga orang yang doanya tidak akan ditolak: penguasa yang adil, orang yang berpuasa hingga berbuka, dan orang yang dizalimi” (HR: Tirmidhi). Justeru itu di bulan puasa yang sangat diberkati ini, hendaklah kita perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT dan di sepuluh malam akhir Ramadan kita dianjurkan berdoa dengan maksud “Ya Allah sesungguhnya Kau Maha Pengampun dan suka mengampun, ampunilah dosa-dosaku” (HR Tirmidhi).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Jun 2017
\"\"
Scroll to Top