Takwa Dalam Rumahtangga

ALLAH SWT telah berfirman yang bermaksud “Wahai orang yang beriman! bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian daripada rahmat-Nya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (di dunia dan pada hari kiamat kelak), serta diampunkan dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani,” (Surah al-Hadid ,ayat 28]).

Ayat ini jelas menggambarkan bahawa keimanan dan ketakwaan sangat penting dan berkait rapat antara satu sama lain. Beriman bermaksud mengiktikadkan dengan yakin dalam hati, berikrar dengan lidah serta mengerjakan dengan anggota badan dengan sungguh-sungguh kepada Allah dan rasul-Nya. Manakala beriman kepada Rasul bererti meyakini bahawa Rasul itu benar-benar utusan Allah swt, yang berperanan untuk membimbing umatnya ke jalan yang benar agar selamat di dunai dan akhirat.

Rasul adalah manusia pilihan yang diberi wahyu oleh Allah untuk dirinya sendiri dan mempunyai kewajipan untuk menyampaikan kepada umatnnya.Seluruh Rasul memiliki sifat yang sangat terpuji dan terhindar daripada sifat-sifat tercela atau mazmumah. Menurut Ustaz Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada hari Isnin jam 10.15 pagi, dalam rumahtangga, permulaan perkahwinan dengan pasangan adalah dengan bertakwa kepada Allah dan beriman kepada Rasul iaitu menerusi akad nikah. Ini disebabakan perkahwinan  diasaskan dengan rasa takwa kepada Allah swt. Tanpa takwa, dikhuatiri perkahwinan itu  tidak akan mencapai kepada matlamatnya.

Tambahan pula perkahwinan itu juga merupakan ibadah dan sunnah. Memandangkan kelengkapan ajaran Islam dalam menjamin kesejahteraan rumahtangga, keturunan dan keselamatan umat, maka syariat Islam telah mengadakan beberapa peraturan hukum perkahwinan supaya manusia tidak akan tergelincir ke arah  kerosakan dan kehancuran.

Perkahwinan sebenarnya merupakan satu anjakan paradigma yang berlaku di dalam setiap insan yang hidup keseorangan kepada hidup berpasangan. Sebelum memasuki gerbang perkahwinan, setiap bakal pasangan suami isteri perlu membuat persediaan rapi bagi menjamin aspek-aspek seperti memahami konsep dan tujuan perkahwinan, hak dan tanggungjawab serta hubungan kekeluargaan. Suami perlu bertindak sebagai ketua rumah dalam sesebuah keluarga. Suami juga hendaklah bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan orang-orang di bawah jagaannya, iaitu isteri serta anak-anaknya. Si suami juga hendaklah memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya mengikut kemampuannya. Sementara itu, tanggungjawab isteri pula hendaklah melayan kehendak suami dengan baik pada bila-bila masa sahaja.

Sebagai seorang isteri juga  hendaklah menjaga maruah dan akhlak terutamanya apabila keluar dari rumah. Malah, isteri juga disaran tidak menderhakai suami kecuali dibolehkan menyebut sesuatu yang melibatkan keimanan dan hukum hakam  yang digariskan dalam ajaran Islam serta akhlak Islamiyyah.  Sesungguhnya Allah swt Maha Pemurah lagi Maha Penyayang buat seluruh umatnya. Bagi mereka yang sentiasa meletakkan ketakwaan kepada Allah dan keimanan yang begitu tinggi terhadap Rasul-Nya, pasti dijanjikan ganjaran oleh Allah swt. Diberikan dua rahmat daripada-Nya yakni memperolehi kerahmatan di dunia.

Bagi mereka yang bertakwa dan beriman kepada Allah dan Rasul akan diberikan sakinah atau ketenangan hati. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahwa Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: \”Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar).\” (Hadis Riwayat Bukhari). Selain itu, mereka yang bertakwa kepada Allah dan beriman kepada rasul, mengundang limpahan barakah dan rahmat daripada Allah. Firman Allah SWT maksudnya: \”Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai apa yang telah mereka kerjakan.\” (Surah al-A\’raf ayat 96).

Ayat tersebut menghuraikan jaminan Allah SWT bahawa sesiapa yang beriman dan bertakwa kepada-Nya maka Dia akan \’melimpahkan barakah dari langit dan bumi\’ tidak ada kenikmatan dan kebahagiaan sebenarnya melainkan mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Seterusnya, Allah swt memberikan pertolongan buat manusia yang beriman  dan memiliki keyakinan yang kuat terhadap-Nya. Golongan manusia  sebegini akan sentiasa memastikan hubungan yang dijalinkan  dengan Allah tetap utuh dan tidak sesekali akan dipersia-siakan. Oleh itu, apabila mempunyai sebarang hajat, maka mintalah  pertolongan daripada-Nya. Selain itu, Muhammad berkata Allah swt turut menjadikan  kita sebagai umat Islam  sebagai cahaya untuk berjalan dengannya. Cahaya berkenaan merujuk kepada hidayah yang dkurniakan oleh Illahi  bertujuan  membantu kita membuat keputusan dalam hidup. Akhir sekali mereka yang  sentiasa berpegang teguh pada tali Allah dan beriman kepada Rasul-Nya,  pasti meraih keampunan dan magfirah daripada-Nya. Walaupun bergelumang dengan  dosa dan maksiat, Allah Maha Pengampun bagi umat yang telah kembali ke pangkal jalan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Oktober 2017
\"\"
Scroll to Top