Saat Menghampiri Kematian

FASA kehidupan manusia, bermula sejak bayi sehinggalah dewasa lalu meniti usia tua, akan sampai satu ketika dipanggil untuk kembali menghadap Allah SWT. Ramai di kalangan manusia terlupa bahawa Allah telah memberi petanda bahawa mereka sedang menghampiri tempoh itu tanpa bersedia untuk melakukan sesuatu untuk menghadapi saat itu. Di antara tanda-tanda manusia menghampiri saat kematian ialah dengan tumbuhnya uban. Manusia pertama yang menerima petanda seumpama ini ialah Nabi Ibrahim AS. Apabila mula beruban di kepalanya, Baginda bertanya kepada Allah tentang petanda yang sedang dihadapinya itu. Lalu Allah mengatakan bahawa itu adalah cahaya yang sedang meliputi hidup Nabi Ibrahim AS.

Selain itu petanda semakin hampirnya kematian ialah apabila timbulnya kesakitan atau penyakit yang datang satu persatu dalam kehidupan manusia tanpa mengenal peringkat usia.  Malah mereka juga akan menjadi semakin pelupa dan hilang ingatan terhadap peristiwa yang lampau. Manusia dituntut agar sentiasa berdoa kepada Allah supaya dijauhkan daripada menghadapi kematian ketika berada di dalam keadaan nyanyuk. Usia tua juga petanda kepada manusia bahawa mereka sedang menghampiri saat kematian, sebagaimana perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm. Namun pada hakikatnya semakin tua umur manusia, menjadikan hati mereka semakin keras, tidak lagi merasa nikmat melakukan ibadah dan semakin jauh daripada Allah SWT. Kebanyakan di kalangan manusia seperti itu menjadi fasik pada penghujung kehidupan mereka.

Rasulullah SAW mengingatkan kepada manusia bahawa kematian itu adalah satu perkara ghaib yang hampir dengan mereka dan menunggu saat untuk mencabut nyawa manusia. Kehidupan di dunia ini bagaikan satu permusafiran bagi manusia atau hanya sebagai satu persinggahan semata-mata. Mereka perlu bersiap sedia untuk menghadapi kematian pada bila-bila masa sahaja dan apabila menghadapi petanda semakin hampirnya kematian, maka perbanyakkanlah bertaubat kepada Allah. Kalimah taubat dan istighfar seharusnya menjadi kelaziman di bibir mereka, nescaya akan terasa nikmat untuk beribadat kepada Allah.

Setiap dosa yang dilakukan akan meninggalkan kesan dan menimbun di atas bahu mereka. Oleh itu untuk mengikis timbunan dosa yang banyak, maka beristighfarlah. Malah ia juga menjadi ubat kepada mereka yang berada di dalam kesakitan, menyegarkan hidup mereka yang mengalami usia tua dan menjadikan mereka kelihatan hebat di sisi makhluk di dunia dan di sisi Allah SWT. Sedangkan Rasulullah SAW sendiri bertaubat kepada Allah lebih 70 kali setiap hari, apatah lagi manusia biasa yang lazim melakukan dosa di sepanjang kehidupan mereka. Namun sebaliknya manusia hanya memohon keampunan kepada Allah pada saat nyawanya berada di halkum dan tibanya kematian. Tetapi sayangnya pada ketika itu, taubatnya itu tidak lagi diterima Allah.

Apabila adanya petanda kematian pada diri manusia, mulakanlah untuk membuat wasiat bagi harta benda dan segala apa yang menjadi miliknya ketika di dunia kerana ia merupakan perkara sunat untuk dilaksanakan. Tulislah wasiat setiap kali sebelum tidur, kerana ia merupakan amalan yang paling berkesan berbanding nasihat, terutamanya kepada ahli keluarga mereka. Hibahkanlah dan sedekahkan harta benda yang dimiliki sebelum kembali menghadap di hadapan Allah kerana ia merupakan simpanan dan bekalan manusia untuk ke syurga. Selain itu apabila tiba saat kematian kelak, anak-anak dan ahli keluarga tidak akan bertelagah mengenai harta benda dan hak mereka.

Di saat mengetahui saat kematian semakin hampir, perbanyakkan amalan membersihkan jiwa dan hati, jangan sesekali ada perasaan berburuk sangka di dalam diri terutamanya kepada Allah kerana ia akan menimbulkan kesulitan kepada manusia. Pesanan yang terkandung di dalam sebuah hadis Qursi, Allah berpesan kepada hamba-Nya: “Aku disisi sangkaan hamba-hamba-Ku terhadap-Ku. Sekiranya baik sangkaannya, maka baiklah Aku. Jika buruk sangkaannya terhadapku, maka buruklah Aku dengannya.”

Jika di kalangan manusia sedang mengalami kesakitan, jauhkan dirinya dari keadaan bernajis sama ada pakaian, anggota badannya atau tempat di sekelilingnya. Pakailah wangian dan pakaian berwarna putih, bersugilah kerana ia akan memudahkan roh untuk keluar daripada jasadnya. Namun pada hakikatnya semakin tua dan uzur usia manusia, semakin selekeh penampilannya. Selain itu cubalah untuk tidak meninggalkan ibadah terutamanya solat dan ketika dalam keadaan uzur berusahalah untuk duduk menghadap ke arah kiblat, walaupun di dalam keadaan berbaring sekalipun. Bacalah al-Quran walau apa jua keadaan, dan jangan sekali-kali menghadapi kematian dengan meninggalkan solat. Bagi keluarga dan mereka yang datang menziarahi orang yang hampir dengan kematian, jadikan kelaziman mengingatkannya untuk mendirikan solat kerana ia adalah peringatan yang paling utama kepadanya.

Perbanyakkan bacaan wirid pada waktu menghadapi saat kematian iaitu kalimah “Ya Allah, tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau. Sungguh aku ini termasuk orang-orang yang zalim”, sekurang-kurangnya sebanyak 40 kali sehari kerana mereka yang mengamalkan kalimah ini dan menemui kematian kerana penyakit yang dideritainya itu, maka pahala yang diperolehi seolah-olah mereka yang mati di dalam keadaan syahid.

Bacalah surah al-Ikhlas, surah Yaasin, surah al-Mulk, al-Kahfi atau al-Baqarah atau surah lain yang digalakkan dijadikan amalan pada saat menghampiri kematian. Sekiranya sudah tidak ada kemampuan untuk membaca sendiri al-Quran, maka anak-anak dan ahli keluarga yang berada disekelilingnya pada saat itu digalakkan membacanya secara serentak untuk memudahkan mereka menumpukan perhatian kepada bacaan al-Quran pada ketika itu. Elakkan perbualan yang sia-sia tentang keduniaan, perbanyakkan percakapan berkaitan Akhirat iaitu kalimah suci al-Quran untuk menyediakan mereka yang hampir dengan kematian itu untuk menghadap Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 Oktober 2017
\"\"
Scroll to Top