Jabir ibn Abdullah

JADILAH seorang insan yang hidup sentiasa memikirkan akan kebaikan dan berbakti kepada agama Allah SWT. Barulah hidup menjadi lebih bermakna. Pastinya, insan yang banyak berjasa kepada agama Allah SWT ialah Rasulullah SAW. Begitu juga para sahabat yang dididik langsung oleh Baginda Rasulullah SAW. Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Binadny berkongsi mengenai kisah seorang tokoh yang banyak berjasa kepada dunia Islam melalui periwayatan hadith Baginda SAW. Beliau yang dimaksudkan ialah Saidina Jabir ibn Abdullah.

Jabir ibn Abdullah merupakan antara 7 para sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith. Menurut sejarah, beliau telah meriwayatkan melebihi 1540 buah hadith. Beliau mempunyai kelebihan ini kerana sering melazimi dan berdampingan dengan Baginda Nabi SAW serta dididik langsung oleh Baginda. Beliau dipertemukan dengan Baginda Nabi SAW melalui satu peristiwa bersejarah, Perjanjian Aqabah. Saat angkatan dari Yathrib bergegas dengan tunggangan kuda yang laju menuju ke Kota Makkah kerana kerinduan mereka kepada Baginda Nabi SAW, waktu itu terdapat seorang tua bersama dengan angkatan tersebut dan membawa seorang anak kecil. Anak kecil yang dibawa bersamanya merupakan satu-satunya anak lelaki beliau dan beliau meninggalkan 9 anak perempuannya yang lain. Anak lelakinya itu dibawa bersama agar dapat dipertemukan dengan Baginda Nabi SAW.

Anak kecil yang dibawa itu, Jabir ibn Abdullah. Beliau, sekalipun masih kecil dan tidak memahami hakikat hidup beragama, namun beliau sudah diperkenalkan dengan agama Islam sehingga cara hidup Islam sudah sebati dengan kehidupannya. Beliau terdidik langsung daripada Rasulullah SAW dan menjadi akrab dengan Baginda semenjak tangan kecilnya itu berjabat tangan berikrar janji setia pada malam ‘Perjanjian Aqabah’. Saat Baginda Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Jabir sentiasa bersama dengan Rasulullah SAW. Beliau dibimbing oleh Rasulullah SAW dan tergolong dalam kalangan orang yang menghafal al-Quran. Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang bijak, alim dan faqih yang faham mengenai selok belok agama Islam. Beliau turut mampu menyampaikan ilmu-ilmu yang diterimanya kepada orang lain.

Belia telah mengumpul dan meriwayatkan melebihi 1540 hadith yang telah beliau hafal. antara hadith-hadith beliau telah dikumpulkan serta dimasukkan ke dalam Sahih Bukhari dan Muslim yang sehingga kini menjadi rujukan buat umat Islam sedunia. Melebihi 200 hadith beliau telah dimasukkan ke dalam dua buah kitab hadith ini. Beliau diberi keberkatan hidup melalui usia yang panjang yang bermanfaat sehingga hampir 100 tahun usianya. Beliau pada hayatnya sering menjadi sumber ilmu dan tempat rujukan.

Ketika beliau kecil, beliau telahpun diamanahkan oleh bapanya untuk menjadi ketua keluarga bagi menjaga 9 orang kakaknya. Saat berada di Madinah, beliau tidak menyertai Perang Badar dan Perang Uhud kerana usianya masih kecil. Beberapa malam sebelum tercetusnya Peperangan Uhud, bapanya telah berpesan “Wahai anakku, sesungguhnya aku telah bermimpi bahawa aku terbunuh di dalam peperangan nanti. Bahkan aku orang pertama yang akan terbunuh di kalangan para sahabat. Aku yakin dan pasti aku tidak akan meninggalkan medan Uhud nanti. Wahai puteraku, sesungguhnya aku mempunyai hutang. Maka, hendaklah engkau tunaikan hutangku. Hendaklah engkau mengasihi kakak-kakakmu dan menjaga mereka dengan baik.” Beberapa hari berikutnya, saat tercetusnya perang Uhud, ayahnya merupakan orang yang pertama terbunuh.

Setelah selesai pengkebumian, beliau datang kepada Rasulullah SAW dan berkata “Rasulullah, bapaku telah meninggal dalam keadaan beliau telah meninggalkan hutang yang aku terpaksa tanggung sedangkan aku tidak ada apa untuk aku tebus hutang tersebut. Hasil tuaian kurma kami juga berkurangan. Andai kata aku mengambil semua hasil-hasil tuaian kami untuk dibayar, pastilah kami tidak akan cukup bekal makanan dan belanja.”

Rasulullah bingkas bangun, berjalan bersama Jabir ke rumahnya dan pergi ke gedung simpanan kurma milik keluarga itu. Baginda berkata “sila kamu panggilkan pemiutang-pemiutang yang menuntut hutang mereka.” Kemudian datang penuntut hutang itu, kemudian Baginda mengambil kurma yang ada dalam simpanan itu, lalu diberikan kepada mereka mengikut jumlah tuntutan hutang masing-masing, sehingga selesai semua hutang mereka. Lalu Baginda SAW meninggalkan keluarga itu. Jabir kemudian bimbang melihatkan jumlah kurma yang keluar terlalu banyak. Saat semua telah beredar, Jabir kemudian meninjau gedung simpanan kurma itu. Alangkah terkejutnya beliau kerana tidak sebiji kurma pun berkurangan daripada simpanan asal mereka.

Begituah kehidupan Jabir yang semenjak kecil telah menjadi ketua keluarga dan enjaga kakak-kakanya. Pun begitu, beliau telah menjadi seorang individu yang hebat lantaran didikan langsung daripada Rasulullah SAW.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Mei 2018

 

Scroll to Top