Islam Agama Nasihat Dan Menasihati

NASIHAT menurut agama Islam menunjukkan bahawa Islam itu merupakan cara hidup yang meliputi seluruh aspek kehidupan seharian umatnya. Nasihat yang dilaksanakan sememangnya bertujuan untuk memperbaiki kesilapan agar dapat membuat perubahan dari sesuatu yang buruk kepada sesuatu yang baik. Jika diteliti makna nasihat, ianya berasal dari bahasa arab ‘Nasaha’ yang bererti menapis iaitu murni serta bersih dari segala kotoran dan turut membawa makna menjahit. Oleh itu, sesuatu nasihat yang ingin diberikan kepada seseorang hendaklah menggunakan perkataan yang baik dengan menapis dahulu kata-kata yang ingin digunakan agar dapat diterima oleh orang yang dinasihati itu. Sesuai dengan amalan nasihat-menasihati itu, Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary dalam rancangan ‘Islam Itu Indah’ yang bersiaran di IKIMfm pada hari Rabu jam 10.15 pagi yang lalu membawakan topik ‘Islam Agama Nasihat Dan Menasihati’.

Agama Islam merupakan sebuah agama yang berbentuk nasihat-menasihati menerusi syariat dan hukum-hukum yang terkandung dalam Al-Quran serta Hadis. Jika ingin menasihati seseorang, hendaklah menggunakan bahasa yang sesuai dan betul melalui intonasi suara yang tepat supaya orang yang dinasihati itu tidak berasa tersinggung. Selain itu, kaedah menasihati juga harus mempunyai teknik yang bijak dimana setiap mesej nasihat yang disampaikan mestilah tidak mengganggu sensetifviti orang lain serta sentiasa menjaga ukhuwah. Persefahaman dan mengenali antara satu sama lain sebelum menasihati seseorang adalah perkara penting untuk membawa sebuah penyampaian mesej nasihat yang berkesan dan sesuai untuk individu tersebut. Bermula dengan amalan nasihat-menasihati, keburukan dari seseorang itu boleh diubah kerana pengisian nasihat itu datang dari hati ke hati yang mempunyai kelebihan tertentu berpandukan kepada niat yang betul.

Sesuai dengan memasuki tahun hirah yang baru ini, inspirasi dari perubahan tahun tersebut hendaklah diadaptasi dalam diri setiap umat Islam untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan walaupun perubahan itu bermula dari sekecil teguran. Namun demikian, teguran yang dibuat perlu dilaksanakan dengan beberapa garis panduan yang betul supaya adab-adab dalam teguran itu dapat dijaga dan tidak disalah guna. Teguran yang dibuat itu juga semestinya bukanlah untuk kepentingan peribadi untuk menjatuhkan maruah seseorang apatah lagi bukan untuk menunjukkan kuasa apabila menasihati orang lain. Ianya lebih mengutamakan manfaat yang terhasil dari terguran dan nasihat supaya menjadi hamba ALLAH SWT yang soleh dan solehah.

Agama Islam merupakan agama bersaudara yang tidak mengira bahasa dan bangsa sesuatu kaum terhadap umatnya. Oleh itu, amalan nasihat-menasihati bukan hanya diberikan ketika seseorang itu melakukan kesalahan sahaja malah umat Islam harus sentiasa mengamalkan nasihat-menasihati dan tolong-menolong agar dapat ingat-mengingati kearah kebajikan dan kebaikan antara satu sama lain. Seruan ALLAH SWT terhadap perkara tersebut dapat dilihat dalam surah Al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.

Tanda agama Islam merupakan sebuah agama nasihat-menasihati dapat dilihat dalam hadis Rasulullah SAW dimana dari Abu Ruqayah Tamim Ad Daari radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : \”Agama adalah nasihat\”. Kami berkata: \”Kepada siapa?\”. Baginda bersabda maksudnya : \”Kepada Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan kepada pemimpan kaum muslimin dan rakyatnya\”. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Berdasarkan hadis tersebut, amalan nasihat-menasihati merangkumi beberapa aspek dimana ianya melengkapi sesebuah kehidupan umat Islam. Antara yang disebut oleh Rasulullah SAW ialah nasihat untuk ALLAH SWT. Perkara ini adalah berkaitan bagi seseorang untuk menunaikan hak Allah S.W.T seperti yang telah disebut dalam syahadah umat Islam iaitu beriman kepada Allah.

Seterusnya adalah nasihat untuk kitab-Nya. Umat Islam perlu memanfaatkan anugerah Al-Quran  serta meyakini bahawa Al-Quran itu adalah kalamullah yang merupakan mukjizat terbesar untuk dihayati, diamalkan pengisianya dan juga merupakan diantara mukjizat-mukjizat yang pernah diberikan kepada para rasul sebagai petunjuk dan cahaya. Selain itu, nasihat untuk Rasul-Nya pula adalah melaksanakan semua sunnah baginda Rasulullah SAW dan meyakini beliau merupakan utusan dari ALLAH SWT membawa kerahmatan buat seluruh alam. Seterusnya nasihat untuk para imam yang turut merangkumi buat penguasa atau ulama. Ianya termasuklah  menerima perintah mereka, mendengar, dan taat kepada mereka selagi tidak melanggari hukum-hukum syariat Islam. Nasihat untuk ulama juga adalah dengan mencintai mereka kerana kebaikan dan jasa mereka pada umat dalam menyampaikan ilmu dan dakwahnya merupakan suatu amalan mulia mewarisi amalan nabi-nabi ALLAH SWT.

Intipati nasihat yang disampaikan mestilah mempunyai hujah yang mantap, intonasi suara yang lembut dan wajah yang manis dalam menjaga adab semasa menasihati. Amalan nasihat itu juga merupakan cara untuk berdakwah. Oleh itu, nasihat yang telah diberikan kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain mestilah mengikut tatacara dan tertib yang tertentu serta mengambilnya sebagai pengajaran selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Janganlah menjadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati. Amalan nasihat-menasihati ini merupakan tanda kasih sayang umat Islam untuk memelihara kebaikan dan menjaga kualiti kehidupan sesuatu masyarakat supaya sentiasa menjadi ummah yang terbaik.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Oktober 2016
Scroll to Top