KUALA LUMPUR, 24 Jun (IKIM) – Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil hari ini mengadakan Ziarah Mahabbah ke Kedutaan Besar Republik Arab Mesir di Kuala Lumpur sebagai langkah memperkukuh hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Mesir, khususnya dalam bidang kefatwaan dan hal ehwal semasa umat Islam.
Pertemuan yang berlangsung bersama Duta Besar Mesir ke Malaysia, Karim Mohamed Elsadat Abdelkarim AbdelKhalek menyaksikan perbincangan konstruktif mengenai kesinambungan kerjasama antara Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan institusi kefatwaan terkemuka Mesir seperti Darul Ifta’ al-Misriyyah.

Ahmad Fauwaz menegaskan komitmen pihaknya untuk terus memanfaatkan jaringan sedia ada dalam memperkukuh institusi fatwa serta menangani isu-isu semasa umat Islam, termasuklah kesihatan masyarakat, kepelbagaian agama dan pemerkasaan kesejahteraan sosial secara holistik.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan dan keilmuan pentadbiran fatwa semasa, beliau turut menyatakan hasrat meneruskan program pengajian dan latihan pegawai penyelidik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Darul Ifta’ sebagai salah satu usaha pembangunan modal insan dan peningkatan kompetensi dalam pengurusan fatwa kontemporari.
Ziarah ini mencerminkan hubungan erat diplomasi ilmu antara Malaysia dan Mesir serta komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasakan institusi kefatwaan sejajar dengan tuntutan zaman.