UMAT ISLAM MALAYSIA MULA BERPUASA PADA KHAMIS

KUALA LUMPUR, 17 Feb (IKIM) – Umat Islam di seluruh Malaysia akan mula menunaikan ibadah puasa Ramadan pada Khamis, 19 Feb, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad.

Beliau berkata tarikh permulaan puasa itu ditetapkan bagi semua negeri di Malaysia menurut perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selepas mendapat perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman rasmi berkenaan telah disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia malam ini.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebelum ini, hari ini bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah diperuntukkan bagi aktiviti cerapan anak bulan Ramadan untuk menentukan tarikh permulaan puasa umat Islam di negara ini.

Terdahulu di ibu negara, proses cerapan anak bulan di Menara Kuala Lumpur berlangsung meriah dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Beliau memaklumkan proses cerapan anak bulan Ramadan diadakan setiap tahun melibatkan 29 lokasi di seluruh negara, antaranya di Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, Melaka; selain Menara Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Antarabangsa di Putrajaya.

Turut hadir Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil serta Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Mohamed Azam Mohamed Adil.

Penetapan tarikh permulaan Ramadan ini membolehkan umat Islam di seluruh negara membuat persediaan untuk menyambut bulan penuh keberkatan dengan melaksanakan ibadah puasa serta memperbanyakkan amalan kebajikan dan kerohanian.

Gambar: Jabatan Penerangan Malaysia, Fatkhulmungin Mohd Yusof.

WhatsApp
Scroll to Top