KUALA LUMPUR, 24 Mac (IKIM) – Umat Islam di negara ini diseru agar melaksanakan Solat Sunat Istisqa’ sebagai usaha memohon rahmat hujan daripada Allah SWT susulan keadaan cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata amalan tersebut wajar dilakukan secara berterusan sebagai tanda keinsafan dan kebergantungan kepada Allah SWT.
Menurut beliau pelaksanaan solat sunat itu juga merupakan ikhtiar rohani bagi memohon agar segala kesulitan yang dihadapi akibat cuaca panas dapat diringankan.
“Dalam menghadapi keadaan ini, umat Islam diseru untuk bersama-sama bermunajat dan memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan hujan yang membawa keberkatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menzahirkan harapan agar setiap doa yang dipanjatkan diterima dan dimakbulkan, sekali gus membawa rahmat kepada seluruh alam.
Keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan ketika ini memberi kesan kepada kehidupan harian, termasuk bekalan air dan sektor pertanian di beberapa kawasan di negara ini.




