UMAT ISLAM DILARANG SERTAI RITUAL AGAMA LAIN – MKI

Kuala Lumpur, 15 Mei 2025 (IKIM) – Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) hari ini menegaskan bahawa penyertaan umat Islam dalam upacara keagamaan agama lain adalah dilarang sama sekali dan boleh menjejaskan akidah.

Dalam satu kenyataan media, beliau memaklumkan bahawa Muzakarah MKI memandang serius isu penglibatan sebilangan umat Islam dalam majlis keagamaan bukan Islam, khususnya yang melibatkan pemujaan berhala atau ritual secara fizikal seperti paluan kompang yang dilakukan oleh individu Muslim.

“Akidah Islam adalah asas yang mengikat hubungan hamba dengan Allah dan boleh tergelincir melalui i‘tiqad, ucapan, tulisan serta perbuatan,” katanya, sambil menjelaskan bahawa keterlibatan fizikal dalam upacara ibadah bukan Islam termasuk melalui simbol budaya adalah bertentangan dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa menghormati agama lain tidak bererti menyertai ibadah mereka. Islam mengiktiraf kebebasan beragama namun menolak konsep pluralisme agama dan tindakan yang menyamakan semua agama.

Beliau turut merujuk ayat al-Quran dari surah al-Kafirun dan surah al-Furqan bagi memperkukuh pandangan bahawa pemisahan antara ibadah Islam dan ibadah agama lain adalah jelas serta wajib dipelihara.

Menurut beliau lagi, walaupun terdapat pandangan yang membenarkan kehadiran umat Islam ke majlis bukan Islam yang bersifat sosial seperti rumah terbuka tanpa ritual keagamaan, umat Islam tetap perlu berhati-hati agar tidak melanggar batas syariah.

“Paluan kompang dalam majlis pemujaan berhala bukan sekadar budaya tetapi boleh ditafsir sebagai sokongan terhadap unsur syirik,” jelasnya.

Beliau turut menggesa agar institusi pendidikan, masjid dan media memainkan peranan dalam memperkukuh pendidikan akidah serta menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat membimbing umat agar tidak terjebak dalam kekeliruan nilai antara agama dan budaya.

Akhir sekali, beliau menekankan bahawa akidah merupakan tunjang kehidupan Muslim dan tidak boleh dikompromi atas nama toleransi atau keterbukaan.

“Marilah kita bersama-sama mempertahankan kemurnian Islam dengan ilmu, kesedaran dan tindakan berasaskan syarak,” katanya.

WhatsApp
Scroll to Top