KUALA LUMPUR, 19 Mac (IKIM) – Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu, 21 Mac 2026.
Perkara itu diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, menerusi siaran langsung di televisyen dan radio tempatan malam ini.
Beliau berkata, penetapan tarikh tersebut adalah bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Menurut beliau, pengumuman itu mengesahkan bahawa 1 Syawal 1447 Hijrah bagi seluruh negeri di Malaysia jatuh pada Sabtu ini.
Sehubungan itu, umat Islam di seluruh negara dijangka menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh kesyukuran selepas menunaikan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.
Sambutan Aidilfitri tahun ini diharap terus memperkukuh silaturahim serta menyemai nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Kredit foto: RTM




