TVIKIM 13 TAHUN TERUS MELANGKAH SEBAGAI MEDIUM DAKWAH DIGITAL KONTEMPORARI

Kuala Lumpur, 12 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini meraikan ulang tahun ke-13 penubuhan tvIKIM, satu platform media digital yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sebagai saluran dakwah kontemporari.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dalam temubual berkata, tvIKIM telah menunjukkan pertumbuhan yang membanggakan dengan mencatat lebih 5.3 juta tontonan sehingga Jun 2025.

“Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana tvIKIM kini menjadi antara medium utama IKIM dalam menyampaikan mesej Islam dengan pendekatan yang bersesuaian dengan kehendak masa kini,” katanya.

Mohamed Azam berkata, bermula sebagai unit kecil yang merakam program akademik seperti seminar dan persidangan, tvIKIM kini berkembang menerbitkan pelbagai kandungan asli di platform digitalnya.

Baliau berkata antara pencapaian terbaik tvIKIM adalah penerbitan program yang pertama kali dirakam ekslusif dari dalam penjara di Kajang, merungkai pelbagai kisah di sebalik tirai besi  iaitu Podcast Bukan Maksum kerjasama Jabatan Penjara Malaysia.

Antara program lain terbitan tvIKIM yang mencuri perhatian termasuk As-SUAL, program santai yang mengupas persoalan agama secara terbuka; Khaleef BaTEQ, dokumentari menyentuh kehidupan komuniti Orang Asli Muslim; Forum Bicara Ad-Din, wacana ilmiah berkaitan isu-isu semasa; IKIM Merentas Benua: Uzbekistan, program jelajah warisan Islam antarabangsa dan Podcast Berkat Halalan Toyyiban, perbincangan berkaitan isu halal dan industri patuh syariah.

Mengulas lanjut Mohamed Azam berkata tvIKIM turut pernah meraih pengiktirafan apabila dokumentari Lesson from Disaster memenangi Special Merit Award di International Kuala Lumpur Eco Film Festival (KLEFF) 2017.

Menurut beliau pencapaian ini adalah hasil komitmen berterusan seluruh warga kerja dan rakan penyumbang kandungan dalam memperkasa dakwah berteraskan hikmah dan kefahaman.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakan tvIKIM, daripada warga kerja kepada penonton setia. Semoga tvIKIM terus maju dan memberi inspirasi kepada masyarakat,” katanya mengakhiri temubual.

WhatsApp
Scroll to Top