TOKOH PEMIKIR ISLAM PROF DIRAJA TAN SRI DR SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS MENINGGAL DUNIA

KUALA LUMPUR, 8 Mac (IKIM) — Profesor Diraja dan tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari, Yang Mulia Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, meninggal dunia pada jam 6.47 petang, Ahad.

Pemergian tokoh ilmuwan tersohor itu merupakan satu kehilangan besar kepada dunia intelektual Islam, khususnya dalam bidang falsafah, pemikiran dan peradaban Islam di peringkat nasional dan antarabangsa.

Allahyarham yang dikenali sebagai antara sarjana Islam terkemuka telah memberikan sumbangan besar dalam memperkasa pemikiran Islam serta pembangunan tradisi keilmuan melalui karya-karya ilmiah dan gagasan tentang konsep Islamisasi ilmu.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Al-Taqwa Taman Tun Dr Ismail pada pagi Isnin untuk urusan penghormatan terakhir dan solat jenazah.

Allahyarham kemudiannya dijadualkan dikebumikan sebelum waktu Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala amal baktinya kepada umat Islam dan menempatkannya dalam kalangan para solihin di syurga-Nya.

WhatsApp
Scroll to Top