TINDAKAN UNDANG-UNDANG TEGAS AKAN DIAMBIL TANPA KOMPROMI KEPADA AGENSI TIPU UMRAH — MOHD NA’IM

KUALA LUMPUR, 8 April (IKIM) – Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat, agensi atau individu yang terlibat dalam penipuan perkhidmatan umrah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Mengulas mengenai insiden penipuan perkhidmatan umrah yang melibatkan penggunaan wajah selebriti dan ahli keluarga mereka secara tidak sah dan tidak bermoral dalam bahan promosi, Mohd Na’im menegaskan bahawa penipuan dalam urusan agama adalah satu pengkhianatan besar terhadap agama, amanah umat Islam dan nilai kemanusiaan.

“Menjadikan ibadah suci sebagai alat untuk mengaut keuntungan adalah perbuatan yang hina, keji dan tidak akan terlepas daripada pembalasan dunia dan akhirat.” 

“Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil,” ujar beliau memetik surah Al-Baqarah ayat 188.

Beliau turut menggesa mangsa penipuan perkhidmatan umrah membuat laporan segera kepada pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Saya memberi amaran kepada mana-mana individu, kumpulan, atau syarikat yang terlibat dalam penipuan perkhidmatan umrah.. Berhentilah segera!”

“Kerajaan tidak akan berdiam diri. Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.

Mohd Na’im turut berpesan kepada semua pihak untuk berhati-hati sebelum mengambil sebarang perkhidmatan umrah dengan menyemak agensi umrah yang berdaftar di laman rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum membuat sebarang pembayaran.

“Jangan tertipu dengan media sosial. Jangan mudah percaya dengan gambar artis, testimoni atau video yang belum tentu sahih. Sentiasa periksa latar belakang syarikat dan perkhidmatan yang ditawarkan.”

Mohd Na’im menyeru semua pengendali perkhidmatan umrah agar sentiasa memelihara integriti, amanah dan tanggungjawab terhadap pelanggan. 

“Keberkatan rezeki hanya hadir dari jalan yang halal dan bersih,” ujarnya.

Disediakan oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top