PUTRAJAYA, 24 Okt (IKIM) — Kerajaan MADANI terus memperkukuh usaha melindungi hak ibu tunggal dan anak-anak yang dinafikan nafkah apabila tindakan sekatan akaun bank terhadap bekas suami atau bapa yang culas menunaikan tanggungjawab kini telah dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar berkata langkah ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk menegakkan keadilan dan melindungi golongan wanita serta anak-anak yang menjadi mangsa pengabaian nafkah.
“Kerajaan MADANI amat komited untuk membantu rakyat, khususnya para ibu tunggal dan anak-anak yang dinafikan hak nafkah mereka. Usaha keras telah dilaksanakan bagi membolehkan tindakan sekatan akaun bank diambil terhadap bekas suami atau bapa yang culas memberi nafkah, satu cadangan yang dimulakan semasa saya menjadi Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM),” katanya.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan ini menjadi kenyataan selepas pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759) dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Akta 618) diwartakan.
Pindaan tersebut kini mengiktiraf dan membolehkan perintah hiwalah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dilaksanakan oleh institusi perbankan berlesen terhadap simpanan penghutang penghakiman.
“Perintah hiwalah ini memberikan sinar baharu kepada isteri, bekas isteri dan anak-anak yang teraniaya akibat kegagalan pemberian nafkah,” jelasnya.
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menerusi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) turut komited menangani isu pengabaian nafkah.
Sehingga September 2025, sebanyak 152 kes hiwalah telah didaftarkan, dengan 26 kes berjaya diselesaikan melalui pembekuan akaun bank milik penghutang penghakiman.
Nilai keseluruhan simpanan yang telah dipindahkan kepada pemiutang penghakiman hasil pelaksanaan perintah tersebut berjumlah RM79,820.
Selain sekatan akaun bank, tindakan tegas lain termasuk hukuman penjara terhadap individu yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab nafkah turut diambil.
Pada masa sama, kempen kesedaran terus digiatkan di seluruh negara bagi memastikan masyarakat cakna terhadap kepentingan mematuhi perintah Mahkamah Syariah.
“Oleh itu, sebarang dakwaan bahawa kerajaan bersikap lepas tangan adalah tidak benar. Sebaliknya, kerajaan menyeru semua pihak agar menyampaikan mesej yang tepat dan membantu memberikan maklumat berkaitan dasar serta langkah-langkah yang telah dilaksanakan,” tegas beliau.




