Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof , Timbalan Perdana Menteri II kelmarin meluangkan masa bersama penyampai IKIMfm dan rakan pendengar serta ahli kariah Masjid Al-Ghazali, Jalan Depo, Kuching, Sarawak sempena Ziarah Zuhur IKIMfm yang diadakan di masjid tersebut.
Beliau yang hadir menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid berkenaan sebelum itu mengikuti tausiyah yang disampaikan oleh Ustaz Zul Ramli M. Razali, beramah mesra bersama penyampai IKIMfm dan tetamu yang hadir.
Ziarah Zohor IKIMfm di Masjid Al-Ghazali itu merupakan lokasi ketiga dalam siri Jelajah Mahabbah IKIMfm yang bermula pada 27 April lalu.
Kru IKIMfm turut menyantuni rakan mahasiswa di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi sesi diskusi ‘Khabar Orang Muda’. Sesi tersebut yang berlangsung selama lebih sejam itu dikendalikan oleh penyampai IKIMfm, Suffian Amrin bersama panel, Ustaz Zul Ramli M. Razali, Fadzli Aziz dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS. Majlis tersebut turut diserikan dengan penampilan penyanyi, Hafiz Hamidun.
Manakala, sesi bertemu pendengar juga turut diadakan di Pasar Malam Metrocity, Kuching bersama penganjuran ‘Gemersik Maulid IKIMfm’. Alunan qasidah oleh kumpulan Muhibbin menarik perhatian pengunjung pasar malam tersebut untuk turut serta mengikuti perkongsian bersama Ustaz Zul Ramli dan Dr. Hasfa Bakhry Hassan.
Siri Jelajah Mahabbah IKIMfm bagi tahun 2024 seterusnya akan diteruskan ke beberapa negeri lain.