KUALA LUMPUR, 19 Sept (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan semua bakal jemaah haji musim 1447H/2026M supaya segera mengemas kini maklumat peribadi masing-masing bagi memastikan urusan pengurusan dan tawaran haji berjalan lancar.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Haji Mustakim Mohamad berkata usaha itu penting bagi memudahkan proses komunikasi antara pihak TH dan jemaah haji termasuk berkaitan taklimat persediaan, kursus haji serta panduan perjalanan ke Tanah Suci.
“TH amat menekankan kepentingan maklumat yang tepat dan terkini agar urusan haji dapat diatur sebaiknya. Kami berharap agar semua bakal haji dapat memberikan kerjasama untuk mengemas kini profil masing-masing dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut TH, rekod semasa menunjukkan seramai 521 bakal haji dalam senarai giliran tahun 1447H/2026M tidak dapat dihubungi, sekali gus boleh menjejaskan penyampaian maklumat penting berkaitan persediaan dan pengurusan ibadat haji.
Sehubungan itu, TH menggesa semua pendeposit, khususnya bakal haji yang terpilih untuk segera hadir ke pejabat cawangan terdekat atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919 bagi mengemas kini nombor telefon, alamat surat-menyurat dan e-mel terkini.
Dalam pada itu, Mustakim turut menasihatkan bakal haji agar membuat persediaan awal dari segi kesihatan, kewangan serta ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji, demi memastikan urusan penerimaan tawaran dan perjalanan haji berjalan lancar serta mencapai haji mabrur.
Bakal jemaah juga boleh menyemak giliran haji mereka melalui platform THiJARI atau di mana-mana pejabat cawangan TH di seluruh negara.