KUALA LUMPUR, 9 April (IKIM) – Rakyat Malaysia diseru agar mengamalkan prinsip tabayyun, menyemak fakta serta kekal berhemah dalam menghadapi isu krisis tenaga global yang semakin mencabar ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata Malaysia masih berada dalam keadaan stabil dan terkawal meskipun dunia sedang berdepan tekanan akibat konflik geopolitik dan ketidaktentuan bekalan tenaga.
Beliau berkata, pengiktirafan daripada institusi antarabangsa seperti JP Morgan dan Milken Institute turut menunjukkan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia mengurus kesan krisis dengan baik dan tersusun.
“Dalam keadaan dunia bergelut, Malaysia masih mempunyai bekalan makanan asas yang mencukupi seperti ayam, telur, beras, minyak masak dan tepung. Malah, terdapat lambakan sayur di pasaran, mencerminkan kestabilan rantaian bekalan negara,” katanya.
Tambah beliau, suasana sambutan Aidilfitri yang meriah dengan rumah terbuka yang dipenuhi pengunjung serta keadaan trafik yang sibuk juga mencerminkan kehidupan rakyat yang masih stabil.
Mengulas isu tenaga, beliau menegaskan bahawa bekalan petrol, diesel dan gas masih mencukupi, selain kerajaan terus menanggung subsidi berbilion ringgit bagi memastikan rakyat tidak terbeban.
Namun begitu, beliau melahirkan kebimbangan terhadap tindakan segelintir pihak yang terus menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga mencetuskan kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat.
“Walaupun pelbagai penjelasan telah diberikan, masih ada yang memutar belit fakta dan menyebarkan fitnah. Ini tidak wajar, lebih-lebih lagi dalam situasi krisis yang memerlukan ketenangan dan kematangan semua pihak,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar sentiasa merujuk sumber yang sahih dan berautoriti sebelum menyebarkan sebarang maklumat, khususnya berkaitan krisis tenaga global.
Dalam masa sama, beliau turut mengajak masyarakat mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah, mengelakkan pembaziran serta mengamalkan gaya hidup sederhana selaras dengan tuntutan Islam.
“Berjimat dalam penggunaan tenaga bukan sekadar pilihan, tetapi satu tanggungjawab bersama demi kelestarian dan kesejahteraan negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak pada kerajaan, tetapi juga pada rakyat yang bijak, rasional, bersatu dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan.
“Semoga kita semua terus memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat yang benar serta mengurus sumber dengan bijak demi kesejahteraan bersama,” katanya.




