PUTRAJAYA, 24 April (IKIM) — Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencatatkan pencapaian terbaik sejak 2013 dengan indeks Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan berkata seramai 355,933 calon atau 94 peratus layak diberikan sijil SPM pada 2024 berbanding 349,297 calon pada 2023.
“Angka ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 6,636 calon atau 0.5 peratus. Peningkatan ini merupakan pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan pada 2013 diperkenalkan dengan calon wajib lulus dua mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Azman berkata analisis keputusan peperiksaan SPM 2024 menunjukkan peningkatan pencapaian calon secara keseluruhan, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menyediakan akses pendidikan yang inklusif dan berkualiti.
“Ini selari dengan komitmen KPM untuk memastikan kesamarataan peluang pendidikan kepada semua calon di seluruh negara,” katanya.
Tinjauan Berita IKIMfm di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, Banting mendapati suasana kemeriahan dan mendebarkan dengan pelajar-pelajar datang bersama ibu bapa dan berbual bersama rakan-rakan serta guru-guru dalam menyemak keputusan masing-masing.

Azman berkata daripada keseluruhan 402,918 calon berdaftar dalam peperiksaan SPM 2024, seramai 386,714 calon merupakan calon baharu yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.
“Daripada jumlah berkenaan, 344,919 adalah calon sekolah KPM dengan 338,673 calon telah hadir. Sebanyak 6,246 calon tidak hadir berbanding 8,676 calon pada 2023.
“Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 2,430 calon yang menunjukkan keberkesanan pelbagai inisiatif dan intervensi yang dilaksanakan oleh KPM,” katanya.