SEMUA PIHAK PERLU BERJIWA BESAR DEMI PERDAMAIAN DAN PERPADUAN – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR, 19 Mac 2026 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyeru semua pihak agar mengutamakan pendekatan damai dan berjiwa besar dalam menangani sebarang perbezaan, demi memupuk perpaduan dalam masyarakat.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, beliau menegaskan bahawa keamanan merupakan tunjang penting dalam Islam, meliputi kehidupan individu, bermasyarakat dan bernegara.

Menurut beliau, konsep kedamaian disebut berulang kali dalam al-Quran, menunjukkan betapa pentingnya nilai tersebut dalam ajaran Islam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang menyatakan bahawa beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mewakili komuniti Melayu dan India telah mengadakan pertemuan semalam bagi mencari jalan perdamaian, dalam usaha menyelesaikan kemelut yang dihadapi kedua-dua pihak secara harmoni dan menyeluruh.

Beliau turut mengingatkan bahawa Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam untuk sentiasa berdoa memohon kedamaian, termasuk selepas menunaikan solat, sebagai manifestasi hubungan dengan Allah SWT yang menjadi sumber segala ketenangan.

Mengulas mengenai bulan Ramadan, Dr. Zulkifli berkata ia merupakan medan latihan untuk membentuk jiwa bertakwa, di mana seorang mukmin dididik untuk melakukan kebaikan, berakhlak mulia serta mencintai kedamaian dalam setiap aspek kehidupan.

Dalam masa sama, beliau memetik hadis Rasulullah SAW yang menggesa umat Islam agar sentiasa bertakwa, membalas keburukan dengan kebaikan serta berinteraksi dengan manusia melalui akhlak yang baik.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang berusaha mencari jalan penyelesaian secara damai dalam sesuatu isu, sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai amalan yang besar ganjarannya di sisi Allah SWT.

“Malaysia memerlukan lebih banyak pendekatan yang damai seperti ini. Berdamai dan terbuka untuk berbincang bukan tanda kelemahan, sebaliknya ia adalah sunnah yang sangat dituntut serta mencerminkan kekuatan sebenar,” katanya.

Beliau menegaskan, sikap berjiwa besar dan mengutamakan perdamaian tidak sesekali mengurangkan nilai sesuatu perjuangan, malah mampu meningkatkan martabat dan darjat perjuangan itu sendiri.

WhatsApp
Scroll to Top