SENI DAN DAKWAH PERKUKUH PENDEKATAN KEPADA GENERASI MUDA

KUALA LUMPUR, 10 April (IKIM) – Usaha memperkasa dakwah melalui pendekatan seni terus diberi penekanan apabila satu pertemuan bermakna berlangsung antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan bersama legenda seni dan dakwah antarabangsa, Yusuf Islam.

Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Dr. Zulkifli memaklumkan bahawa pertemuan tersebut memberi fokus kepada potensi kerjasama dalam memperluas dakwah, khususnya dalam mendekati generasi muda melalui pendekatan seni Islam yang lebih segar, menyentuh jiwa serta merentas budaya.

Turut hadir memeriahkan suasana Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil  dan Ana The Rayhan yang mengimbau kembali nostalgia kolaborasi bersama Yusuf Islam suatu ketika dahulu.

Pertemuan itu turut diserikan dengan persembahan istimewa apabila Yusuf Islam bergandingan vokal bersama Nazrey Johani menyampaikan lagu “God Is The Light” dan “Puji-Pujian”, sekali gus menghidupkan kembali kenangan kegemilangan kumpulan nasyid Raihan.

Dalam sesi tersebut, Nazrey turut berkongsi pengalaman berharga apabila Raihan pernah dijemput merakamkan lagu di studio Yusuf Islam di London pada tahun 1997.

Rakaman itu melibatkan barisan anggota termasuk Allahyarham Zairey, Amran, Che Amran dan Abu Bakar yang bersama-sama menghasilkan karya berkualiti tinggi dan kekal malar segar hingga ke hari ini.

Menurut Zulkifli gabungan seni dan dakwah mampu menjadi medium yang lebih berkesan dalam menyampaikan mesej Islam, khususnya kepada generasi muda.

“Apabila seni dan dakwah bergabung, mesej dapat disampaikan dengan lebih luas dan menyentuh hati, insya-Allah,” katanya.

Kredit foto: FB YB Senator Dr Zulkifli Hasan

WhatsApp
Scroll to Top