KUALA LUMPUR, 13 April (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan bahawa perbuatan menyebarkan berita palsu bukan sahaja mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat, malah boleh membawa kepada dosa jariah yang berpanjangan.
Menurut beliau, pihaknya menerima beberapa tangkap layar yang mendakwa kononnya kerajaan menghantar 329,000 tong diesel ke Filipina, sedangkan dakwaan tersebut adalah tidak benar.
“Lebih membimbangkan, ada pihak yang sengaja menyebarkan maklumat palsu ini dengan gaya berselindung seperti meletakkan tanda soal atau berpura-pura bertanya, walhal mereka sedar berita itu tidak sahih,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, tindakan tersebut membuka ruang kepada cacian dan makian dalam kalangan masyarakat, sekali gus menjejaskan keharmonian sosial.
Beliau turut melahirkan rasa kesal apabila terdapat segelintir individu termasuk dalam kalangan agamawan yang terlibat dalam penyebaran maklumat tidak benar.
Beliau menjelaskan, keadaan menjadi lebih rumit apabila berita yang telah diperbetulkan dengan fakta sahih masih tidak diterima, sebaliknya terus disebarkan bersama kata-kata kesat dan tidak beretika.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar mengamalkan prinsip tabayyun atau menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum disebarkan, selaras dengan ajaran Islam.
“Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala dalam Surah Al-Hujurat ayat 6 mengingatkan kita: ‘Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya’,” katanya.
Beliau menegaskan, setiap individu bertanggungjawab memastikan maklumat yang dikongsi adalah benar bagi mengelakkan penyebaran fitnah serta menjaga keharmonian masyarakat dan negara.




